Jumaat, 29 April 2016

ANALISIS TAUTAN KOLOKASI DALAM PANTUN MELAYU





  AHLI KUMPULAN:

NAMA

NO. MATRIK
SYAKINA BINTI SALLEH
D20131063259
TANIA ELIAS IDRIS
D20131063242
NUR SHAFIRA BT SHARULLAIN
D20131063364
ANGELA JENGAM
D20131063389


KUMPULAN D
(KUMPULAN 6)

  PROF. MADYA DR. HJ. MOHD RASHID BIN HJ. MD IDRIS

             FAKULTI BAHASA DAN KOMUNIKASI

           UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN

SEMESTER 1 
  2015/2016
SENARAI KANDUNGAN 

BAB 1 PENDAHULUAN
1.1 PENGENALAN
1.2 OBJEKTIF KAJIAN 
1.3 PERSOALAN KAJIAN 
1.4 METODOLOGI KAJIAN 

BAB 2 DAPATAN KAJIAN
TAUTAN KOLOKASI DALAM PANTUN MELAYU
2.1 TAUTAN KOLOKASI ANTONIMAN 
2.2 TAUTAN KOLOKASI KOHIPONIMAN 
2.3 TAUTAN KOLOKASI HASIL 
2.4 TAUTAN KOLOKASI SIFAT 
2.5 ANALISIS KUANTITATIF ASPEK KOLOKASI DALAM PANTUN MELAYU

BAB 3 RUMUSAN

3.1 KESIMPULAN 


PENGENALAN
Dalam tugasan ini kumpulan kami telah memilih tajuk tugasan iaitu Analisis Tautan Kolokasi Dalam Pantun Melayu. Halliday dan Hassan dalam Mohd Rashid Idris (2004) mendefinisikan tautan sebagai ciri-ciri linguistik yang membantu menghubungkan satu tautan ayat sebagai melahirkan suatu teks yang padu atau memperlihatkan tautannya. Tatabahasa Dewan pula menyatakan tautan sebagai ciri wacana yang membawa keserasian hubungan antara satu unsur linguistik yang lain dalam sesuatu wacana untuk menghasilkan wacana yang lengkap.
Gutwinsky dalam Henry Tarigan menambahkan tautan sebagai hubungan antara kalimat di dalam sebuah wacana baik dalam tingkat gramatikal mahupun dalam tingkat leksikal tertentu. Rumusannya, tautan bermaksud hubungan antara ayat yang saling berkaitan dalam tingkat ayat atau ujaran gramatis serta tingkat leksikal tertentu. Dalam tugasan ini kumpulan kami hanya memfokuskan kajian terhadap analisis tautan kolokasi sahaja, dimana ia adalah terdiri daripada empat jenis tautan kolokasi yang di analisis di dalam Pantun Melayu. Misalnya, tautan kolokasi antoniman, tautan kolokasi antoniman, tautan kolokasi hasil dan tautan kolokasi sifat.
            Tautan kolokasi tidak melibatkan unsur linguistiknya berulang bentuk dan makna.Tautan jenis ini merujuk kepada konteksnya, iaitu kehadiran sesuatu linguistik dengan yang   lain   antara   dua   unit   teks.   Kehadiran   ini   melibatkan   domain   makna. Dengan berdasarkan domain makna inilah kehadiran unsur linguistik yang terlibat diperincikan kepada empat jenis, iaitu:
a)      Tautan Kolokasi Antonomi
Tautan ini menunjukkan kehadiran unsur tautan yang bercirikan makna yang berlawanan. Contohnya:
1.   Industri   perindustrian   tempatan   masa  kini  semakin   diperakui   diperingkat antarabangsa.
2.      Berbanding pada masa dahulu industri ini kurang mendapat tempat.
Unsur ‘dahulu’ dalam ayat (b) dikatakan bertaut secara kolokasi dengan unsur‘kini’ dalam ayat (a). Unsur tersebut merupakan unsur linguistik pada peringkat kata yang menunjukkan hubungan makna yang bertentangan.
b)      Tautan Kolokasi Kohiponiman
Tautan   ini   merujuk   kepada   kehadiran   hubungan   makna   unsur   pada   peringkat superodinat dengan ordinatnya atau antara hiponiman atau termasuk meronimi, yakni hubungan unsur yang sebahagian dengan unsur  yang menyeluruh atau antara unsur sebahagian daripada entiti yang menyeluruh. Contohnya:
1.    Program   tuisyen  mata   pelajaran   utama  bertujuan   untuk   membantu pelajar  mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan.
2.      Pelajar   yang   lemah   dalam  Bahasa   Melayu,   Matematik   Sains  dan Bahasa    Inggeris  disarankan   untuk   menghadiri   tuisyen   itu   secara percuma.
Unsur dalam ayat (b) yang terdiri daripada kata dan frasa, iaitu ‘Bahasa Melayu’,‘Bahasa Inggeris’, ‘Matematik’, ‘Sains’ dikatakan bertaut secara kolokasi dengan frasa‘mata   pelajaran   utama’   dalam   ayat   (a).   Tautan   ini   melibatkan   hubungan   makna hiponimi, iaitu antara superodinat dengan koordinatnya.
c)      Tautan Kolokasi Hasil
Tautan   ini   melibatkan   kehadiran   hubungan   makna   unsur   tautan   yang   satu menghasilkan   yang   lain   atau   unsur   yang   dihasilkan   oleh   sesuatu   entiti   semantik.Contohnya:
1.      Kanak- kanak  berusia lima tahun nyaris putus tiga jari tangan kanan apabila mercun  bola yang dipasangkan meletup secara tiba- tiba.
2.      Kejadian   berlaku   kerana   ada  ibu   bapa  yang   berpendapat   bahawa permainan   bunga   api   dan   mercun   merupakan   satu   kemestian   pada setiap kali perayaan.
Dalam ayat (b) , unsur ‘ibu bapa’ yang terdiri daripada frasa juga bertaut secara kolokasi dengan unsur ‘kanak-kanak’ dalam ayat (a) yang juga terdiri daripada frasa.Tautan ini juga melibatkan hubungan  makna hasil antara entiti, tetapi untuk maksud yang sebaliknya, iaitu yang dihasilkan (kanak-kanak) mendahului yang menghasilkan (ibu bapa).
d)     Tautan Kolokasi sifat
Tautan ini merujuk kepada kehadiran hubungan makna antara unsur tautan yang menjadi  punca sifat   dengan   unsur sifat  atau unsur  sifat   daripada  entiti punca  sifat. Contohnya:
1.      Kempen  mengharamkan   sajian   makanan   haram  bersama   minuman halal   yang   lain   kepada   pengunjung   Muslim   telah   diadakan   secara besar- besaran di negara itu.
2.     Pihak   hotel   perlu   peka   bahawa  Islam  melarang   umatnya   makan makanan yang memudaratkan bagi menjamin akhlak yang terpuji.
Dalam ayat (b), unsur ‘Islam’ yang terdiri daripada kata bertaut secara kolokasi dengan unsur ‘mengharamkan sajian makanan’ dalam ayat (a) yang terdiri daripada frasa.  Tautan  ini melibatkan     kehadiran  kata yang berlainan mewujudkan  hubungan makna sifat, iaitu antara entiti dengan sifatnya. Dalam contoh ini, entiti (Islam) di dahului oleh sifatnya (mengharamkan sajian makanan haram).

OBJEKTIF KAJIAN
Terdapat beberapa objektif dalam kajian ini iaitu ;
1.      Mengenal pasti tautan kolokasi antoniman dalam pantun Melayu.
2.      Mengenal pasti tautan kolokasi kohiponiman dalam pantun Melayu.
3.      Menghuraikan kolokasi hasil dan sifat dalam pantun Melayu.

PERSOALAN KAJIAN
1.      Adakah terdapat tautan kolokasi antoniman dalam pantun Melayu?
2.      Adakah terdapat tautan kolokasi kohiponiman dalam pantun Melayu?
3.      Adakah terdapat kolokasi hasil dan sifat dalam pantun Melayu?

METODOLOGI KAJIAN
Metodologi kajian adalah merujuk kepada kaedah yang paling sesuai untuk menjalankan penyelidikan dan menentukan tatacara yang efektif bagi menjawab permasalah kajian. Bagi melaksanakan kajian ini, pengkaji telah menggunakan kaedah kepustakaan.

1.      Kaedah Kepustakaan
Kaedah kepustakaan ini merupakan kaedah yang berkaitan dengan pencarian maklumat-maklumat umum dengan kata kunci bagi sesuatu kajian. Dalam kajian ini pengkaji telah menggunakan Perpustakaan Tunku Bainun Universiti Pendidikan Sultan Idris untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan bahan kajian dengan sebanyak yang mungkin. Contohnya, buku-buku ilmiah, tesis dan jurnal yang berkaitan dengan tajuk kajian.
2.      Kaedah Analisis Data
Kaedah analisis data merupakan kaedah yang tidak asing dalam setiap kajian yang dilakukan. Dengan kaedah analisis data, hasil sesuatu kajian akan diperolehi.  Kaedah ini merupakan satu kaedah untuk mengawal dan mempersembahkan data yang diperoleh oleh pengkaji. Dalam kajian ini pengkaji mengumpul data yang di perlukan itu dengan sebanyak yang mungkin. Data-data yang di kumpulkan itu akan di masukkan ke dalam jadual dan seterusnya data tersebut akan dipaparkan dalam bentuk graf.

DAPATAN KAJIAN
1.0 TAUTAN KOLOKASI
1.1 TAUTAN KOLOKASI ANTONIMAN

Tautan kolokasi boleh dibahagikan kepada empat bahagian. Bahagian tersebut terdiri daripada kolokasi antoniman, kolokasi kohiponiman, kolokasi hasil, dan kolokasi sifat. Berdasarkan pantun yang dipilih, unsur tautan wujud dalam teks dan hubungan makna.
         Kolokasi dalam tautan wujud menerusi dua cara. Cara pertama ialah melalui perkaitan semantik. Hal ini boleh dilihat melalui item-item leksikal yang selalu hadir secara serentak atau bersama. Cara kedua adalah melalui makna rujukan umum yang berkaitan atau sama dan menerusi kata berlawanan.
           Tautan kolokasi antoniman diertikan sebagai tautan yang menunjukkan tanda berlawanan. Tautan jenis ini boleh diklasifikasikan sebagai tautan leksikal. Terdapat 16 buah pantun yang dikaji. Berikut merupakan pantun yang mempunyai contoh-contoh kolokasi antoniman.

(1)   Anak teruna bertemu dara,
Pertemuan diatur oleh keluarga;
Hidup di Malaysia pelbagai budaya,            
Kerjasama dibina membawa kesejahteraan.

(2)   Anak muda pulang ke desa,
Ibu dan ayah lama menanti;
Warga membaca tak buang masa,
Khutub khanah teman sejati.

(3)   Dari apa kue lemang,
Dari ketan yang dipanggang;
Waktu kecil kita ditimang,
Ayah ibu harus disayang.

(4)   Silau mata bila melihat,
Panahan mentari di pagi hari;
Pemerintah adil disayangi rakyat,
Negara aman hidup harmoni. 

(5)   Sungguh bermutu kayu jati,
Menjadi pilihan segenap masyarakat;
Pemimpin adil sangat dihormati,
Memakmurkan ummah dunia dan akhirat.  

(6)   Berakit rakit ke hulu,
Berenang renang ke tepian;
Bersakit sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian.

Rangkap satu (R1) menunjukkan kolokasi antoniman pada baris pertama iaitu ‘teruna’ dan ‘dara’. Kolokasi tersebut terdapat dalam baris pertama pantun. Baris pertama pantun empat kerat merupakan makna pembayang bagi sesebuah pantun. Secara keseluruhan, pantun tersebut membawa maksud rakyat Malaysia yang mempunyai kepelbagaian budaya mestilah bekerjasama dalam semua aspek bagi mengekalkan kesejahteraan dan keamanan  negara.
            Bagi rangkap dua (R2), kolokasi antoniman terletak pada baris kedua iaitu ‘ibu’ dan ‘ayah’. Kolokasi antoniman ini terletak pada baris kedua pantun dan merupakan unsur pembayang dalam pantun tersebut. Jika dilihat secara menyeluruh, pantun ini menggambarkan individu yang mengamalkan sikap suka membaca. Individu yang suka membaca sudah pasti tidak akan buang masa dan menjadikan khutub khanah atau perpustakaan sebagai tempat yang selalu dikunjungi untuk mendapatkan bahan bacaan.
        Rangkap ketiga (R3) juga menunjukkan kolokasi antoniman yang sama dengan pantun kedua iaitu kata ‘ayah’ dan ‘ibu’. Maksud pantun tersebut merujuk kepada ibu dan ayah yang banyak berkorban untuk ank-anak. Oleh sebab itu, kita mestilah membalas jasa mereka dengan sentiasa mencurahkan kasih saying yang tidak berbelah bahagi terhadap mereka.
    Setelah pengkaji menghuraikan bahagian pembayang pantun yang mempunyai kolokasi antoniman, kini pengkaji beralih kepada pantun keempat (4). Rangkap keempat (R4) mempunyai unsur kolokasi antoniman pada bahagian makna. Hal ini dapat dilihat dengan jelas pada baris ketiga iaitu perkataan ‘pemerintah’ dan ‘rakyat’. Secara tuntas, pantun ini memberi peringatan bahawa pemerintah sesebuah negara yang bersikap dalam pentadbiran dan pengurusan kebajikan akan sentiasa disayangi rakyat. Apabila pemerintah disayangi rakyat, negara akan mudah mencapai keamanan dan keharmonian.
      Rangkap kelima (R5) pula menunjukkan kolokasi antoniman terletak pada baris ketiga iaitu ‘dunia’ dan ‘akhirat’. Kedua-dua perkataan ini terletak pada baris terakhir dan merangkap unsur makna dalam pantun tersebut. Pantun tersebut bermaksud pemimpin yang adil sangat dihormati oleh rakyat. Jika diihat daripad sudut keagamaan, pemimpin atau ketua negaralah yang akan menyatupadukan  semua ahli yang dipimpinnya, berjalan seiring untuk sama-sama mengejar kemakmuran di dunia dan akhirat.
      ‘Hulu’, ‘tepian’, ‘dahulu’, dan ‘kemudian’ merupakan contoh kolokasi antoniman yang terdapat dalam rangkap keenam (R6). Setiap satu perkataan tersebut berada pada hujung baris pantun. Jika dipasangkan menjadi ‘hulu’ dan ‘tepian’, unsur antoniman akan terbentuk. Begitu juga dengan perkataan ‘dahulu’ dan ‘kemudian’. Makna yang wujud menunjukkan erti berlawanan. Secara keseluruhan, pantun ini mengingatkan pembaca agar dalam mengerjakan sesuatu, jika ada sebarang kesusahan, kita mestilah tenang dan tabah dalam menghadapi situasi tersebut. Kepayahan itulah sebenarnya yang akan membawa kita kepada kesenangan kelak.

1.2 TAUTAN KOLOKASI KOHIPONIMAN

Kolokasi kohiponiman pula bermaksud keberadaan hubungan makna unsur yang terangkum diperingkat superordinat dengan ordinatnya. Ia boleh juga berpaut diperingkat superordinat dengan hiponim, atau termasuk meronimi.
        Dalam kata mudah, kolokasi kohiponiman boleh dikesan melalui kata yang maknanya berpaut atau terangkum dalam makna kata yang lain. Sebagai contoh, melur, ros, dan kekwa merupakan hiponim daripada bunga. Melalui pantun yang dikaji, terdapat beberapa perkataan yang menunjukkan kolokasi kohiponiman:

(7)   Baju kurung baju kebaya,
Baju kegemaran anak Pak Amat;
Harta dunia pengaruh manusia,
Harta yang baik harta akhirat. 

(8)   Disusun kemas oleh si dara nyonya,
Sirih junjung hantaran perkahwinan;
Jalankan kehidupan dengan rasionalnya,
Masa yang ada usah dipersiakan. 

(9)   Songket Jawa menjadi pilihan,
Pakaian anak Panglima Badang;
Emas dan perak hanya hiasan,
Hati yang baik juga dikenang orang. 


(10) Berulang alik ke Tanjong Malim,
        Hendak berjumpa anak Pak Jalil;
        Hidup di dunia janganlah zalim,
        Ingatlah Tuhan yang Maha Adil. 

Rangkap ketujuh (R7) menunjukkan kolokasi kohiponiman pada baris pertama pantun iaitu melalui kata ‘baju’ dan ‘kebaya’. Kita sedia maklum bahawa baju terdiri daripada pelbagai jenis, contohnya baju kebaya, kurung, kemeja, dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, ‘kebaya’ merupakan hiponim daripada ‘baju’. Jika dilihat pada keseluruhan makna pantun, pantun ini mengingatkan kepada pembaca bahawa harta dunia seperti wang, pangkat, dan anugerah yang dimiliki boleh mempengaruhi hidup seseorang. Namun, kita perlu sedar bahawa bukan harta dunia yang menjadi ukuran kepada amalan kita di akhirat kelak. Harta akhirat seperti amal jariah, anak yang soleh dan solehah, serta amal ibadatlah yang akan dinilai di hadapan Tuhan.
         Rangkap kelapan (R8) pula menunjukkan kolokasi kohiponiman pada baris kedua pantun iaitu melalui kata ‘sirih junjung’ dan ‘hantaran perkahwinan’. Kedua-dua perkataan ini berada dalam bahagian pembayang pantun. Hantaran perkahwinan mengikut adat melayu terdiri daripada sirih junjung, cincin, sepersalinan baju Melayu atau kurung, dan sebagainya. Oleh sebab itu, ‘sirih junjung’ adalah hiponim daripada ‘hantaran perkahwinan’. Makna keseluruhan pantun ini ialah kita mestilah berfikiran rasional dalam menjalani kehidupan. Masa yang ada mestilah digunakan untuk melakukan perkara yang berfaedah.
     Tautan kolokasi kohiponiman dalam pantun seterusnya pula berada pada baris ketiga iaitu bahagian makna. Rangkap kesembilan (R9) menunjukkan kolokasi kohiponiman pada kata ‘emas’, ‘perak’, dan ‘hiasan’. Secara umumnya, hiasan boleh terdiri daripada emas, perak, gangsa, dan sebagainya. Kolokasi kohiponiman boleh difahami dengan jelas menerusi contoh tersebut. Bagi makna pantun pula, pantun ini bererti walaupun kita mempunyai harta dan perhiasan yang banyak, diakhir hayat kita nanti, budi yang baik juga yang akan dikenang.
        Bagi rangkap pantun yang terakhir (R10), kolokasi kohiponiman dapat dilihat melalui kata ‘Tuhan’ dan ‘adil’. Kedua-dua perkataan ini terletak pada baris akhir pantun, merangkap unsur dalam bahagian makna. Dalam skop keagamaan, Tuhan mempunyai banyak sifat yang menunjukkan kebesaran-Nya seperti Maha adil, Maha melihat, Maha mengetahui, dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, ‘adil’ merupakan hiponim bagi ‘Tuhan’. Jika kita lihat pada keseluruhan pantun, mesej dalam pantun tersebut mengingatkan kita agar jangan melakukan kezaliman. Ingatlah bahawa Tuhan itu Maha adil, Dia akan membalas setiap perbuatan kita setimpal dengan apa yang kita lakukan.

1.3 TAUTAN KOLOKASI HASIL
Tautan kolokasi hasil membawa maksud tautan yang melibatkan keberadaan makna unsur tautan yang satu menghasilkan yang lain, atau antara unsur yang dihasilkan oleh sesuatu entiti semantik. Berikut merupakan contoh tautan kolokasi hasil yang terdapat dalam pantun melayu.

(11) Satu dua tiga enam,
Enam dan satu jadi tujuh,
Buah delima yang ditanam,
Buah berangan hanya tumbuh.

Bagi Rangkap kesebelas (R11), tautan kolokasi yang terdapat dalam pantun ini dapat dikenal pasti melalui kosa kata ditanam dan tumbuh yang mempunyai keseimbangan makna daripada segi hasil. Kosa kata ini terdapat pada baris ketiga dan keempat pantun ini. Maksudnya ialah sebelum sesuatu pokok atau buah itu tumbuh, sudah semestinya pokok atau buah tersebut perlu ditanam terlebih dahulu sebelum ianya tumbuh. Secara keseluruhannya pantun ini

(12) Wahai anakanda kuntum pilihan,
Syarak dan sunnah jangan abaikan,
Berbuat baik janganlah segan,
Supaya engkau dirahmati Tuhan.

Seterusnya tautan kolokasi hasil juga terdapat dalam rangkap kedua belas (R12) ini. Tautan kolokasi yang terdapat dalam pantun ini dapat dikenal pasti melalui kosa kata berbuat baik dan dirahmati yang mempunyai keseimbangan makna daripada segi hasil. Maksudnya ialah jangan segan berbuat baik kerana kita akan dirahmati Tuhan. Jika kita berbuat baik, maka hasilnya Tuhan akan merahmati kita.
(13) Anak teruna bertemu dara,
Pertemuan diatur oleh keluarga,
Hidup di Malaysia pelbagai budaya,
Kerjasama dibina membawa kesejahteraan.

Tautan kolokasi yang terdapat dalam rangkap ketiga belas (R13) dapat dikenal pasti melalui kosa kata kerjasama dan kesejahteraan yang mempunyai keseimbangan makna daripada segi hasil. Maksudnya untuk mencapai sesuatu kesejahteraan dalam kehidupan, semangat kerjasama perlu diwujudkan kemudian barulah kesejahteraan tercapai. Hal ini demikian kerana, Malaysia mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan terdiri daripada pelbagai budaya. Jadi amalan bekerjasama perlu dibina dalam kalangan masyarakat agar rakyat Malaysia dapat hidup dalam keaadaan aman dan sejahtera.

(14) Berakit rakit ke hulu,
Berenang renang ke tepian,
Bersakit sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian.

Rangkap keempat belas (R14) juga menampakkan ciri kolokasi hasil, iaitu pada baris ketiga dan keempat. Kedua-dua baris ini dilihat mempunyai kesinambungan daripada segi hasil. Maksudnya, untuk mendapat kesenangan, kita perlu melalui kepayahan terlebih dahulu kemudian barulah kita memperoleh kesenangan. Pantun ini dicipta untuk tujuan memberi nasihat. Pantun ini menyuruh kita untuk bersusah-susah belajar terlebih dahulu agar senang di kemudian hari dan bahagia di masa depan.

(15) Mendung ialah suatu tanda
Hujan akan segera tiba
Dengarlah wahai anakanda
Ilmu adalah cahaya dalam jiwa

Seterusnya adalah pada rangkap kelima belas (R15). Pantun ini juga mengandungi tautan kolokasi hasil. Tautan kolokasi yang terdapat dalam pantun ini dapat dikenal pasti melalui kosa kata mendung dan hujan yang mempunyai keseimbangan makna daripada segi hasil. Maksudnya sebelum hujan turun, cuaca akan mendung tersebih dahulu dan diikuti dengan turunnya hujan. Secara keseluruhannya, pantun ini bertujuan untuk memberi nasihat berkaitan ilmu. Ilmu yang diperolehi atau dipelajari akan menjadi cahaya dalam jiwa seseorang.

1.4 TAUTAN KOLOKASI SIFAT
Tautan kolokasi sifat merujuk kepada keberadaan hubungan makna unsur tautan yang menjadi punca sifat dengan unsur sifat atau unsur sifat daripada entiti punca sifat. Berikut merupakan contoh tautan kolokasi sifat yang terdapat dalam pantun melayu.

(16) Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Pantun keenam belas (R16) ini mempunyai tautan kolokasi sifat, iaitu pada baris pertama dan baris kedua. Contoh di atas menunjukkan sifat padi setelah masak, iaitu layu-layuan. Maka hasil daripada menuai padi yang telah masak ialah padi tersebut akan layu. Secara keseluruhannya, pantun ini
(17) Air melurut ke tepian mandi
Kembang berseri bunga senduduk
Elok diturut resmi padi
Semakin berisi semakin tunduk
Pantun ketujuh belas (R17) ini juga mempunyai tautan kolokasi sifat. Contoh dalam pantun ini menunjukkan resmi padi, iaitu apabila semakin berisi, padi tersebut akan semakin tunduk. Padi yang semakin menunduk merupakan hasil apabila padi tersebut semakin berisi, maka padi yang semkin berisi merupakan kolokasi sifat yang terdapat dalam pantun di atas. Pantun ini menyeru supaya kita sentiasa merendah diri.
(18)     Ke hulu membuat pagar,
Jangan terpotong batang durian;
Cari guru tempat belajar,
Supaya jangan sesal kemudian.
Pantun kelapan belas (R18) memperlihatkan tautan kolokasi sifat, iaitu pada baris ketiga pada perkataan guru dan tempat belajar. Hal ini demikian kerana guru merupakan tempat belajar bagi seseorang pelajar. Secara keseluruhannnya pantun ini mengingatkan kita untuk mencari guru kerana guru merupakan tempat untuk kita belajar dan menimba ilmu pengetahuan supaya tidak kesal dikemudian hari kelak.

(19)     Dari apa kue lemang,
Dari ketan yang dipanggang,
Waktu kecil kita ditimang,
Ayah Ibu harus disayang.

Seterusnya ialah pada rangkap yang kesembilan belas (R19). Pantun ini juga memperlihatkan tautan kolokasi sifat. Kita dapat lihat melalui kosa kata kecil dan ditimang yang terdapat pada baris ketiga pantun ini. Hal ini dapat dilihat melalui sifat manusia, iaitu semasa kita kecil, kita ditimang-timang oleh ibu bapa kita. Pantun ini sebenarnya meningatkan kita untuk menyayangi kedua ibu bapa kita kerana ketika kita kecil, mereka menjaga kita dengan penuh kasih sayang.

3.0 ANALISIS KUANTITATIF ASPEK KOLOKASI DALAM PANTUN MELAYU
Analisis kuantitatif ini berdasarkan bilangan rangkap pantun yang mengandungi unsur kolokasi mengikut jenis kolokasi.

Jadual 1.0 Bilangan Rangkap Pantun Mengandungi Unsur Kolokasi
Kolokasi
Kolokasi Antoniman (TK1)
R1, R2, R3, R4, R5, R6
6
Kolokasi Kehiponiman (TK2)
R7, R8, R9. R10
4
Kolokasi Hasil (TK3)
R11, R12, R13, R14, R15
5
Kolokasi Sifat (TK4)
R16, R17,R18, R19
4
                                                                                    Jumlah
19

Carta Pai yang menunjukkan bilangan rangkap mengikut jenis kolokasi.
Carta 1.0 Bilangan Rangkap mengikut Jenis Kolokasi.

Berdasarkan Jadual 1.0 dan Carta 1.0, didapati bahawa tautan kolokasi antoniman mempunyai jumlah yang paling banyak digunakan dalam pantun melayu yang dikaji iaitu 6 atau 32%. Kemudian diikuti oleh tautan kolokasi hasil dengan jumlah sebanyak 5 rangkap atau 26%. Manakala yang agak sedikit digunakan ialah tautan kolokasi kehiponiman dankolokasi sifat. Kedua-dua jenis kolokasi tersebut hanya terdapat pada 4 rangkap dalam Pantun Melayu sahaja dengan peratusan 21%.
Jumlah penggunaan kolokasi antoniman dan kolokasi hasil tidak begitu banyak bezanya. Namun, penggunaan kolokasi antoniman melebihi satu rangkap berbanding kolokasi hasil dalam Pantun Melayu. Hal ini menunjukkan penulis banyak menggunakan kata-kata atau unsur yang  bertentangan dan berlawanan makna. Contohnya, unsur antoniman pada R1 ini menunjukkan antonim berpasangan iaitu teruna dan dara. Penulis juga kerap menggunakan kolokasi hasil namun jumlahnya lebih sedikit daripada kolokasi antoniman. Kolokasi hasil ini merujuk kepada perbuatan yang kita lakukan dan hasil atau balasannya kita dapat kemudian. Contohnya dapat dilihat pada R11;
Buah delima yang ditanam,
Buah berangan hanya tumbuh
Perkataan ditanam merujuk kepada perbuatan dan perbuatan ditanam tersebut diikuti oleh tumbuh sebagai hasilnya. Tautan ini melibatkan keberadaan makna unsur tautan yang satu menghasilkan unsur yang lain.
Persamaan jumlah penggunaan kolokasi kehiponiman dan kolokasi sifat dapat kita lihat berdasarkan jadual dan carta di sebelah. Penulis jarang menggunakan unsur kolokasi kehiponiman dan kolokasi sifat dalam Pantun Melayu. Unsur kolokasi kehiponiman dan kolokasi sifat masing-masing hanya digunakan sebanyak 4 kali sahaja. Tautan jenis ini, merujuk kepada kata yang makna nya terangkum dalam makna kata yang lain. Hal ini berlaku apabila ada perkataan yang berfungsi sebagai nama kelas bagi segolongan perkataan lain. Contohya pada R9,  Emas dan perak hanya hiasan. Hiasan merupakan kata yang luas dan umum, manakala emas dan perak merupakan dua perkataan dalam golongan hiasan. Kolokasi sifat hanya meliputi 21% daripada keseluruhan peratusan kekerapan penggunaan kolokasi mengikut jenis. Hal ini kerana penulis tidak fokus kepada sifat sesuatu unsur yang digunakan. Unsur tersebut banyak digunakan dalam Pantun Melayu, tetapi tidak diberikan sifatnya. Penulis tidak menggunakan tautan ini yang melibatkan kehadiran kata yang berlainan mewujudkan hubungan makna sifat, iaitu antara entiti dengan sifatnya.


KESIMPULAN
Kesimpulannya, terdapat banyak penggunaan tautan kolokasi yang digunakan di dalam pantun Melayu. Seperti yng sedia maklum kita hanya mendapati bahawa selama ini tautan kolokasi hanyalah terdapat di dalam cerpen mahupun mantera sahaja, akan tetapi pada kali ini kumpulan kami telah membuktikan bahawa pengarang pantun Melayu juga ada menggunakan tautan kolokasi di dalam karya-karya mereka misalnya pantun Melayu yang dibuktikan dengan analisis yang telah dibuat tersebut.
      Selain itu kumpulan kami hanyalah menganalisi empat sahaja tautan kolokasi pada pantun Melayu ini iaitu terdiri daripada tautan kolokasi antoniman. Kohiponiman, hasil dan sifat. Keempat kolokasi ini sememnya terdapat di dalam pantun Melayu ini. Dengan adanya analisis ini dibuat maka kami menegaskan disini bahawa unsur-unsur tautan kolokasi seperti tautan kolokasi antoniman, kohiponiman, hasil dan juga sifat ini ada digunakan dalam pantun Melayu bukan sahaja digunakan dalam cerpen mahupun mantera sahaja.
  
BIBLIOGRAFI

Mohd.  Rashid  Md  Idris,  Norliza  Jamaluddin,  Abu  Hassan  Abdul  &  Adenan  Ayob  (2012). 
        Analisis wacana berdasar teks komsas terpilih. Perak: Emeritus Publication. 

Mohd.  Rashid  Md  Idris,  Norliza  Jamaluddin,  Abu  Hassan  Abdul  &  Adenan  Ayob  (2012). 
        Tatabahasa wacana. Perak: Emeritus Publication. 

Mohd.      Rashid     Md     Idris    (2007).    Monograf       bahasa     Melayu .     Kuala     Lumpur: 
        ACH Communications Sdn. Bhd. 

Nik  Safiah  Karim,  Farid  M.  Onn,    Hashim  Hj.  Musa  &  Abdul  Hamid  Mahmood  (2010). 
        Tatabahasa dewan edisi ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Noraini Binti Kasim (2003), Aspek tautan dalam dokumen lama. Diperoleh pada April 20, 2016 
        daripada http://www.academia.edu/6281797/ASPEK_TAUTAN_DALAM_
        DOKUMEN_LAMA.

Nota  tautan.  Diperoleh  pada  April  20,  2016  daripada  http://documents.tips/documents/nota-

         tautan.html.

Sanat  Md.  Nasir  (2002).  Tautan  dalam  wacana  bahasa  Melayu  akhbar.  Kuala  Lumpur: 
        Dewan Bahasa dan Pustaka. 



LAMPIRAN

(1) Anak teruna bertemu dara,

Pertemuan diatur oleh keluarga;

Hidup di Malaysia pelbagai budaya,

Kerjasama dibina membawa kesejahteraan.


(2) Anak muda pulang ke desa,

Ibu dan ayah lama menanti;

Warga membaca tak buang masa,

Khutub khanah teman sejati.


(3) Dari apa kue lemang,

Dari ketan yang dipanggang;

Waktu kecil kita ditimang,

Ayah ibu harus disayang.


(4) Silau mata bila melihat,

Panahan mentari di pagi hari;

Pemerintah adil disayangi rakyat,

Negara aman hidup harmoni.


(5) Sungguh bermutu kayu jati,

Menjadi pilihan segenap masyarakat;

Pemimpin adil sangat dihormati,

Memakmurkan ummah dunia dan akhirat.


(6) Berakit rakit ke hulu,

Berenang renang ke tepian;

Bersakit sakit dahulu,

Bersenang-senang kemudian.


(7) Baju kurung baju kebaya,

Baju kegemaran anak Pak Amat;

Harta dunia pengaruh manusia,

Harta yang baik harta akhirat.


(8) Disusun kemas oleh si dara nyonya,

Sirih junjung hantaran perkahwinan;

Jalankan kehidupan dengan rasionalnya,

Masa yang ada usah dipersiakan.


(9) Songket Jawa menjadi pilihan,

Pakaian anak Panglima Badang;

Emas dan perak hanya hiasan,

Hati yang baik juga dikenang orang.


(10) Berulang alik ke Tanjong Malim,

Hendak berjumpa anak Pak Jalil;

Hidup di dunia janganlah zalim,

Ingatlah Tuhan yang Maha Adil.


(11) Satu dua tiga enam,

Enam dan satu jadi tujuh;

Buah delima yang ditanam,

Buah berangan hanya tumbuh.


(12) Wahai anakanda kuntum pilihan,

Syarak dan sunnah jangan abaikan;

Berbuat baik janganlah segan,

Supaya engkau dirahmati Tuhan.


(13) Anak teruna bertemu dara,

Pertemuan diatur oleh keluarga;

Hidup di Malaysia pelbagai budaya,

Kerjasama dibina membawa kesejahteraan.


(14) Berakit rakit ke hulu,

Berenang renang ke tepia;,

Bersakit sakit dahulu,

Bersenang-senang kemudian.


(15) Mendung ialah suatu tanda,

Hujanakan segera tiba;

Dengarlah wahai anakanda,

Ilmu adalah cahaya dalam jiwa.


(16) Tuai padi antara masak,

Esok jangan layu-layuan;

Intai kami antara nampak,

Esok jangan rindu-rinduan


(17) Air melurut ke tepian mandi,

Kembang berseri bunga senduduk;

Elok diturut resmi padi,

Semakin berisi semakin tunduk.


(18) Ke hulu membuat pagar,

Jangan terpotong batang durian;

Cari guru tempat belajar,

Supaya jangan sesal kemudian.


(19) Dari apa kue lemang,

Dari ketan yang dipanggang;

Waktu kecil kita ditimang,

Ayah Ibu harus disayang.



http://analisis%20tautan%20kolokasi%20dalam%20pantun%20melayu/Analisis Tautan Kolokasi Dalam Pantun Melayu

Isnin, 25 April 2016

Ciri Runtutan Menurut F.J.D' Angelo




Tugasan Individu



1.0  Pengenalan

Wacana berasal daripada kosa kata Jawa, iaitu ‘wocono’. Perkataan ‘wocono’ pula terbit daripada ‘woco’ yang bermaksud baca. Wacana juga dipercayai berasal daripada perkataan bahasa Inggeris iaitu ‘discourse’. Perkataan ‘discourse’ terhasil daripada perkataan bahasa Latin iaitu ‘discursus’, iaitu larian ke dan lari.
Mnurut Edmondson (1981:4) dalam buku Pengajaran Wacana yang ditulis oleh Henry Guntur Tarigan, wacana adalah suatu peristiwa berstruktur yang ditunjukan dalam perilaku linguistik sedangkan teks adalah suatu urutan ekspresi linguistik berstruktur yang membentuk suatu keseluruhan yang padu.
Menurut Sanat Md Nasir (1986), wacana merujuk kepada teks, iaitu unit bahasa yang melebihi unit teks. Unit teks boleh berdiri sebagai satu ayat sama ada secara fonik atau grafik. Dalam pengertian yang lebih luas, wacana adalah rentangan ujaran yang berkesinambungan antara satu sama lain berdasarkan urutan kalimat-kalimat secara individual.
Ciri-ciri wacana dapat dikategorikan kepada beberapa komponen. Antara komponen tersebut ialah runtutan. Runtutan turut dikenali sebagai koherensi. Menurut Tatabahasa Dewan (2008:525), runtutan merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam sesebuah wacana sehingga teks itu bermakna. Menurut Kamus Besar Indonesia (2008), koherensi juga dikenali sebagai kohesi yang bermaksud hubungan logik antara bahagian karangan atau antara kalimat dalam satu paragraf.
Tokoh bahasa iaitu F.J.D’ Angelo atau nama sebenar beliau, Frank Joseph D’Angelo telah mengkaji ciri-ciri runtutan. Dalam karyanya Process and Thought in Composition, beliau telah menyenaraikan sebanyak 15 ciri-ciri runtutan iaitu penambahan, rentetan, pronomina (kata ganti diri), pengulangan, sinonim, keseluruhan bahagian, kelas anggota, penekanan, perbandingan, pertentangan, simpulan, contoh, kesejajaran (paralel), lokasi dan waktu.




2.0  Ciri Runtutan Menurut Pendapat F.J.D’ Angelo

Setiap bahagian karangan perlu mempunyai pengaturan secara rapi dari segi penyataan, gagasan, fakta dan idea-idea agar menjadi suatu untaian yang logik sehingga mudah untuk difahami maklumat yang ingin disampaikan kepada pembaca. Berikut merupakan 15 ciri-ciri runtutan yang telah disenaraikan oleh F.J.D’ Angelo :

2.1  Penambahan
Ciri pertama yang terdapat dalam runtutan ialah penambahan. Penambahan ini juga dikenali sebagai penghubung aditif. Contoh:
i.                    Masalah pencemaran air sungai ini harus diselesaikan oleh pihak bertanggungjawab dan ketua kampung serta penduduk setempat.
ii.                   Golongan kaya dan miskin, tua dan muda, juga anak-anak yatim tetap dapat menjamu selera bersama-sama tanpa mengira pangkat dan usia.

Perkataan dan, serta dan juga menunjukkan unsur penambahan idea dalam i dan ii bagi mewujudkan kesinambungan idea.


2.2  Rentetan
F.J.D’ Angelo menyenaraikan rentetan sebagai salah satu daripada ciri yang perlu ada dalam runtutan. Hal ini bermaksud, gagasan antara satu idea dan idea lain perlu berangkai atau berurutan. Contoh:
                                            i.            Teknik menggunakan Tetingkap sangat mudah! Pertama, kita mesti klik butang minimum dalam bar tajuk tetingkap. Kedua, kita akan klik butang maksimum dalam bar tajuk tetingkap untuk membesarkannya. Kemudian, kita boleh klik butang kembali ke asal (restore) untuk mengembalikan tetingkap kepada saiz sebelumnya. Seterusnya, kita klik butang tutup dalam bar tajuk tetingkap untuk menutup tetingkap.

Perkataan pertama, kedua, kemudian dan seterusnya merupakan kata yang menunjukkan urutan dan rangkaian dalam kesinambungan idea sesebuah wacana.

2.3  Pronomina (Kata Ganti)
Pronomina atau Kata Ganti turut disenaraikan dalam ciri-ciri yang terdapat dalam runtutan. Penghubung Kata Ganti ini terdiri daripada Kata Ganti Diri, Kata Ganti Petunjuk, Kata Ganti Nama Tempat dan sebagainya. Contoh:
i.                     Ini rumah saya. Itu rumah kamu. Rumah saya dan kamu berdekatan. Jadi, kita berjiran.
ii.                  Alif tinggal di sana. Aina pula tinggal di sini. Mereka berdua merupakan sepasang suami isteri.

Penghubung Kata Ganti Diri boleh ditemui dalam kedua-dua i dan ii iaitu saya dan kita (Kata Ganti Diri Pertama), kamu (Kata Ganti Diri Kedua) serta mereka (Kata Ganti Diri Ketiga). Penghubung Kata Ganti Nama Tunjuk terdapat dalam i iaitu ini yang menunjukkan sesuatu yang dekat dan itu pula menunjukkan sesuatu yang jauh. Dalam ii, terdapat Kata Ganti Tempat iaitu sana yang menunjukkan tempat yang jauh manakala sini menunjukkan tempat yang dekat. Kata Ganti tersebut memberikan unsur bersangkut paut dan berhubungan dalam i dan ii.

2.4  Pengulangan
Pengulangan juga turut dikenali sebagai repetisi turut disenaraikan sebagai ciri-ciri yang perlu ada dalam koherensi. Pengulangan tersebut dapat dilihat pada sesuatu perkataan yang diulang sebanyak beberapa kali. Contoh:
i.                     Setiap musuh mesti dihapuskan. Setiap cabaran mesti dihadapi dengan tabah. Setiap perbuatan pasti mendapat balasan. Setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya.
ii.                  Hidup ini adalah satu perjuangan. Perjuangan dalam mencari kebenaran. Perjuangan mengejar ilmu pengetahuan. Perjuangan untuk meneruskan kehidupan. Perjuangan yang tiada penghujungnya.
     
      Dalam i, terdapat perkataan setiap yang diulang sebanyak 4 kali. Perkataan perjuangan yang terdapat dalam ii pula diulang sebanyak 5 kali. Hal ini demikian kerana perkataan tersebut bertindak sebagai penegas kepada tajuk yang hendak disampaikan agar lebih difahami dan dapat menghasilkan kesan makna yang puitis.

2.5  Sinonim
Catatan Kamus Linguistik (1997) menyatakan bahawa sinonim merupakan dua kata atau lebih mempunyai makna yang sama atau hampir sama dalam sesuatu bahasa. Contoh:
i.                    Produk kecantikan yang asli lagi tulen boleh dibeli di cawangan terdekat produk tersebut. Pengasas produk kecantikan tersebut merupakan emak kepada Aina. Ibu Aina telah meninggal dunia akibat kejadian rompakan bersenjata di ibu negara. Aina juga sedih kerana kematian kucing kesayangan ibunya yang dilanggar kereta.

Terdapat beberapa perkataan yang sama makna dengan perkataan lain. Perkataan asli sama makna dengan perkataan tulen.Perkataan emak dan ibu serta meninggal dunia dan kematian masing-masing mempunyai makna yang sama. Namun apabila digunakan dalam ayat, maksud perkataan tersebut bergantung kepada konteks ayat. Ciri ini yang memberi variasi dalam runtutan.
2.6  Keseluruhan Bahagian
Menurut pendapat F.J.D’ Angelo, pertuturan dan penulisan yang dihasilkan akan bermula dari keseluruhan isi yang cuba disampaikan, kemudian beralih kepada bahagian-bahagian lain. Contoh:
i.                     Saya membeli buku baru. Buku itu terdiri daripada tujuh bab. Setiap bab terdiri daripada beberapa fasal. Setiap fasal tersusun dari beberapa perenggan. Seterusnya, setiap perenggan mempunyai ayat. Setiap ayat pula terdiri daripada beberapa perkataan.

Buku tersebut merupakan keseluruhan kepada perkara yang ditulis. Manakala bab, fasal, perenggan, ayat dan perkataan merupakan bahagian-bahagian yang terdapat dalam buku iaitu isi yang cuba diterangkan. Strategi umum – khusus merujuk kepada penggunaan kata atau frasa yang membawa makna umum pada bahagian awal ayat sebelum bergerak kepada makna khusus pada bahagian tengah atau pengakhiran ayat. Gandingan makna umum dengan makna khusus ini membentuk makna yang tersusun, lancar dan mudah difahami oleh khalayak.

2.7  Kelas Anggota
Ciri kelas anggota lebih kurang sama dengan ciri keseluruhan bahagian. Perbezaannya dapat dilihat apabila kelas anggota lebih fokus terhadap bahagian yang lebih kecil dengan memberikan contoh. Contoh:
i.                     Kerajaan berusaha untuk meningkatkan mutu pengangkutan di negara kita, sama ada pengangkutan darat, laut atau udara.Dalam sektor pengangkutan darat, kerajaan telah menggalakan rakyat untuk memanfaatkan penggunaan kereta api, monorail, teksi dan sebagainya.

Perkataan pengangkutan darat, laut atau udara merupakan contoh kepada pengangkutan dan kereta api, monorail serta teksi merupakan contoh kepada pengangkutan darat. Contoh-contoh itu disebut sebagai anggota dan isi utamanya iaitu pengangkutan merupakan kelas.

2.8  Penekanan
Penekanan yang digunakan dalam sesebuah wacana boleh meningkatkan lagi keruntutan atau perhubungan antara gagasan idea. Terdapat beberapa perkataan yang boleh digunakan untuk menekankan perkara penting dalam ayat. Contoh:
i.                     Akhirnya, jambatan yang menghubungkan kampung kita dengan kampung Unggul dapat dibina dengan sempurna hasil kerjasama kedua-dua belah pihak. Jelaslah hubungan antara kedua-dua kampung masih lagi erat. Sesungguhnya perkara ini memberi manfaat kepada penduduk kampung.

      Perkataan akhirnya, sesungguhnya dan jelaslah dalam contoh di atas merupakan penekan kepada ayat. Perkataan tersebut bertindak untuk menegaskan perkara penting yang terdapat dalam ayat. Penekanan yang terdapat dalam sesebuah wacana atau ayat boleh meninggalkan kesan kepada pembaca atau pendengar.

2.9  Perbandingan
Perbandingan turut dikira sebagai penyumbang kepada runtutan. Perbandingan
berlaku dalam sesebuah wacana apabila penulis cuba membandingkan sesuatu perkara dengan perkara yang lain. Contoh:
i.                    Sama seperti Pak Cik Lukas, kita pun harus mendirikan rumah yang besar. Pembinaan rumah Pak Cik Lukas hampir siap. Mengapa kita tidak berbuat begitu secepat yang mungkin?
Perkataan sama seperti, pun dan begitu menunjukkan perbandingan antara sesuatu perkara. Penulis menggunakan perkataan tersebut untuk membandingkan kita dengan Pak Cik Lukas. Perbezaan dapat dilihat melalui perbandingan yang dibuat dan penulis mengajak pembaca untuk menilai dan mencontohi Pak Cik Lukas.



2.10          Pertentangan
Pertentangan atau kontra digunakan untuk menambahkan lagi kesan koheren dalam sesuatu teks. Pertentangan berlaku apabila wujudnya dua gagasan idea yang bercanggah. Contoh:
i.                     Bidang pertanian di negara kita telah mengalami perkembangan yang pesat akibat daripada kemajuan teknologi. Tetapi, kebanyakan petani masih lagi menggunakan tukang empat kerat, bergantung sepenuhnya pada cuaca dan menggunakan bantuan perkhidmatan kerbau. Namun, hasil mereka jauh lebih banyak daripada hasil pertanian petani moden.

Pada contoh i, terdapat pertentangan melalui perkataan tetapi dan namun.Perkataan tersebut wujud kerana terdapat percanggahan idea antara ayat pertama dengan ayat kedua dan seterusnya. Pengarang menunjukkan pemodenan dalam bidang teknologi tetapi hasilnya bertentangan dengan kemajuan yang ada.

2.11          Simpulan
Simpulan atau hasil wujud dalam sesebuah wacana untuk meningkatkan lagi kesan koherensi. Simpulan ini seolah-olah kita menyimpulkan isi yang dibincangkan dalam sesuatu teks. Terdapat beberapa perkataan tertentu yang menjadi penanda kepada simpulan. Contoh:
i.                    Tuntasnya, masalah obesiti hendaklah diatasi untuk mengelakkan perkara buruk yang timbul sebagai akibatnya. Oleh yang demikian, kita perlu mengamalkan pemakanan seimbang dan lebih kerap bersenam. Membuang lemak dalam badan bukan perkara mudah untuk dilakukan. Jadi, usaha ini memerlukan kesabaran dan kesungguhan.
Perkataan tuntasnya, oleh yang demikan dan jadi merupakan perkataan yang sering digunakan untuk menyimpulkan sesuatu ayat dan idea dalam teks. Kata simpulan ayat ini turut bertindak sebagai penghubung dalam sesebuah wacana.

2.12          Contoh
Melalui contoh yang diberi dalam sesebuah teks, kita dapat mencipta koherensi. Hal ini demikian kerana, setiap contoh yang diberikan pasti berkaitan antara satu sama lain. Contoh:
i.                    Di halaman rumah kami, terdapat sayur-sayuran seperti bayam, kacang panjang, sawi, dan kangkung. Terdapat juga buah-buahan yang ditanam oleh nenek saya, misalnya durian, cempedak, betik dan langsat.
Perkataan bayam, kacang panjang, sawi, dan kangkung merupakan contoh kepada sayur dan perkataan durian, cempedak, betik dan langsat contoh kepada buah. Perkataan ini dilihat saling bersangkut paut kerana kedua-duanya merupakan tumbuhan atau tanaman.
2.13          Kesejajaran (Paralel)
Ciri runtutan berikut dikenali sebagai kesejajaran. Kesamaan struktur dalam pasangan atau siri kata-kata, frasa-frasa atau klausa-klausa yang berhubungan. Gaya ini mensejajarkan beberapa ayat yang berpola sama. Contoh:
i.                    Sewaktu dia datang, saya sedang membaca buku, saya sedang fokus kepada cerita yang dibaca. Jadi, saya tidak mengetahui, saya tidak sedar dia duduk di sebelah saya. Saya terkejut. Kemudian, kami bersalaman dan berpelukan kerana lama sudah tidak bertemu.
Klausa saya sedang membaca buku, saya sedang tekun fokus sejajar dengan klausa saya tidak mengetahui, saya tidak sedar. Perkataan bersalaman pula sejajar dan perkataan berpelukan.


2.14          Lokasi
Lokasi turut disenaraikan sebagai ciri runtutan. Setiap kata yang digunakan untuk menunjukkan lokasi pasti bertindak sebagai penghubung dalam sesebuah teks. Contoh:
i.                    Ayah meletakkan buku di atas meja. Adik pula telah mengambil buku tersebut lalu disimpannya di dalam almari. Apabila abang bertanya kepada adik, adik tidak ingat tempat dia menyimpan buku tersebut dan memberitahu abang buku itu ada di bawah kerusi.
Perkataan di  atas meja, di dalam almari dan di bawah kerusi menunjukkan kata berkaitan lokasi. Perkataan tersebut dilihat sebagai runtutan kerana setiap ayat yang terhasil dapat dihubungkan antara satu sama lain dan ideanya juga bersangkut paut.
2.15          Waktu
Runtutan dalam sebuah wacana turut mengambil kira aspek waktu. Waktu boleh digunakan sebagai alat untuk menghubungkan antara satu idea dengan idea yang lain. Contoh:
i.                    Pada 1 September 2013, Aina telah mendaftar sebagai pelajar di universiti ini. Selama 5 bulan Aina tidak pulang ke kampung halaman kerana sibuk dengan pelbagai aktiviti. Pada awal bulan Februari, Aina pulang ke kampung untuk menghabiskan cuti semesternya.
Teknik penulisan waktu sentiasa berurutan dan secara tidak langsung memberi kesan penghubung dan berkait antara satu sama lain kepada idea. 1 September 2013 5 bulan dan awal bulan Februari memberi kesan urutan waktu dan menghubungkan satu idea dengan idea lain.




3.0 Kesimpulan
            15 ciri-ciri runtutan menurut F.J.D’ Angelo telah berjaya dibincangkan. Ciri-ciri yang diutarakan oleh beliau sangat sempurna dan lengkap. Hal ini demikian kerana setiap aspek runtutan termasuk lokasi dan waktu disentuh dan turut diambil kira sebagai penghubung untuk menghasilkan wacana yang berkualiti.
            Koherensi merupakan hubungan timbal balik yang baik dan jelas antara unsur-unsur yang membentuk sebuah kalimat, bagaimana hubungan antara subjek dan predikat, hubungan antara predikat dan objek. Koheren juga bukan pada satuan teks tetapi ia bergantung kepada kemampuan pembaca atau pendengar dalam menghubungkan makna dan menginterpretasikan suatu bentu wacana.
Wacana yang mantap perlu mempunyai runtutan iaitu penghubung sama ada isi dengan isi, ayat dengan ayat atau idea dengan idea. Hal ini demikian kerana setiap maklumat yang cuba disampaikan akan mudah difahami oleh pembaca dan pendengar. Isi, idea dan ayat tidak berterabur serta gagasannya sentiasa bersangkut paut antara satu sama lain.










Rujukan
Abdul Hamid Mahmood. (2006). Kursus Menguasai Bahasa Melayu Mudah. Tanjong Malim:       Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Abdullah Hassan. (1992). Semantik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari. (2009). Semantik Dan Prgmatik       Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd.

Henry Guntur Tarigan. (1993). Pengajaran Wacana. Bandung: ANGKASA Bandung.

Mohd Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul dan Adenan Ayob. (2012).         Tatabahasa Wacana. Tanjong Malim: Emeritus Publications.