Isu Dalam Kajian Wacana

BAB 1 PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN

Dalam tugasan ini kumpulan kami telah memilih tajuk tugasan iaitu Analisis Tautan Kolokasi
dalam Pantun Melayu. Halliday dan Hassan dalam Mohd Rashid Idris (2004) mendefinisikan
tautan sebagai ciri-ciri linguistik yang membantu menghubungkan satu tautan ayat sebagai
melahirkan suatu teks yang padu atau memperlihatkan tautannya. Tatabahasa Dewan pula
menyatakan tautan sebagai ciri wacana yang membawa keserasian hubungan antara satu unsur
linguistik yang lain dalam sesuatu wacana untuk menghasilkan wacana yang lengkap.

          Gutwinsky dalam Henry Tarigan menambahkan tautan sebagai hubungan antara kalimat
di dalam sebuah wacana baik dalam tingkat gramatikal mahupun dalam tingkat leksikal tertentu.
Rumusannya, tautan bermaksud hubungan antara ayat yang saling berkaitan dalam tingkat ayat
atau ujaran gramatis serta tingkat leksikal tertentu. Dalam tugasan ini kumpulan kami hanya
memfokuskan kajian terhadap analisis tautan kolokasi sahaja. Ia terdiri daripada empat jenis
tautan kolokasi yang dianalisis dalam pantun Melayu. Misalnya, tautan kolokasi antoniman,
tautan kolokasi antoniman, tautan kolokasi hasil dan tautan kolokasi sifat.

          Tautan kolokasi tidak melibatkan unsur linguistiknya berulang bentuk dan makna. Tautan
jenis ini merujuk kepada konteksnya, iaitu kehadiran sesuatu linguistik dengan yang lain antara
dua unit teks. Kehadiran ini melibatkan domain makna. Berdasarkan domain makna inilah
kehadiran unsur linguistik yang terlibat diperincikan kepada empat jenis, iaitu:

     a) Tautan Kolokasi Antonomi
         Tautan ini menunjukkan kehadiran unsur tautan yang bercirikan makna yang berlawanan.
         Contohnya:

              1. Industri perindustrian tempatan masa kini semakin diperakui di peringkat
                  antarabangsa.
              2. Berbanding pada masa dahulu industri ini kurang mendapat tempat.

Unsur ‘dahulu’ dalam ayat (b) dikatakan bertaut secara kolokasi dengan unsur ‘kini’ dalam ayat
(a). Unsur tersebut merupakan unsur linguistik pada peringkat kata yang menunjukkan hubungan
makna yang bertentangan.

     b) Tautan Kolokasi Kohiponiman
         Tautan ini merujuk kepada kehadiran hubungan makna unsur pada peringkat
         superodinat dengan ordinatnya atau antara hiponiman atau termasuk meronimi,
         yakni hubungan unsur yang sebahagian dengan unsure yang menyeluruh atau antara
         unsursebahagian daripada entiti yang menyeluruh. Contohnya:

             1. Program tuisyen mata pelajaran utama bertujuan untuk membantu pelajar
                 mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan.
             2. Pelajar yang lemah dalam Bahasa Melayu, Matematik Sains dan Bahasa Inggeris
                 disarankan untuk menghadiri tuisyen itu secara percuma.

Unsur dalam ayat (b) yang terdiri daripada kata dan frasa, iaitu ‘Bahasa Melayu’, ‘Bahasa
Inggeris’, ‘Matematik’, ‘Sains’ dikatakan bertaut secara kolokasi dengan frasa ‘mata pelajaran
utama’ dalam ayat (a). Tautan ini melibatkan hubungan makna hiponimi, iaitu antara superodinat
dengan koordinatnya.

     c) Tautan Kolokasi Hasil
         Tautan ini melibatkan kehadiran hubungan makna unsur tautan yang satu menghasilkan
         yang lain atau unsur yang dihasilkan oleh sesuatu entiti semantik. Contohnya:

             1. Kanak- kanak berusia lima tahun nyaris putus tiga jari tangan kanan apabila
                 mercun bola yang dipasangkan meletup secara tiba- tiba.
             2. Kejadian berlaku kerana ada ibu bapa yang berpendapat bahawa permainan
                 bunga api dan mercun merupakan satu kemestian pada setiap kali perayaan.

Dalam ayat (b) , unsur ‘ibu bapa’ yang terdiri daripada frasa juga bertaut secarakolokasi dengan
unsur ‘kanak-kanak’ dalam ayat (a) yang juga terdiri daripada frasa. Tautan ini juga melibatkan
hubungan makna hasil antara entiti, tetapi untuk maksud yang sebaliknya, iaitu yang dihasilkan
(kanak-kanak) mendahului yang menghasilkan (ibu bapa).

      d) Tautan Kolokasi sifat
          Tautan ini merujuk kepada kehadiran hubungan makna antara unsur tautan yang menjadi
          punca sifat dengan unsur sifat atau unsur sifat daripada entiti punca sifat. Contohnya:

              1. Kempen mengharamkan sajian makanan haram bersama minuman halal yang
                  lain kepada pengunjung Muslim telah diadakan secara besar- besaran di negara
                  itu.
              2. Pihak hotel perlu peka bahawa Islam melarang umatnya makan makanan yang
                  memudaratkan bagi menjamin akhlak yang terpuji.

Dalam ayat (b), unsur ‘Islam’ yang terdiri daripada kata bertaut secara kolokasi dengan unsur
‘mengharamkan sajian makanan’ dalam ayat (a) yang terdiri daripada frasa. Tautan ini
melibatkan kehadiran kata yang berlainan mewujudkan hubungan makna sifat, iaitu antara entiti
dengan sifatnya. Dalam contoh ini, entiti (Islam) didahului oleh sifatnya (mengharamkan sajian
makanan haram)

1.2 Objektif Kajian

Terdapat beberapa objektif dalam kajian ini iaitu ;
       1. Mengenal pasti tautan kolokasi antoniman dalam pantun Melayu.
       2. Mengenal pasti tautan kolokasi kohiponiman dalam pantun Melayu.
       3. Menghuraikan kolokasi hasil dan sifat dalam pantun Melayu.

1.3 Persoalan Kajian

       1. Adakah terdapat tautan kolokasi antoniman dalam pantun Melayu?
       2. Adakah terdapat tautan kolokasi kohiponiman dalam pantun Melayu?
       3. Adakah terdapat kolokasi hasil dan sifat dalam pantun Melayu?

1.4 Metodologi Kajian

Metodologi kajian adalah merujuk kepada kaedah yang paling sesuai untuk menjalankan
penyelidikan dan menentukan tatacara yang efektif bagi menjawab permasalah kajian. Bagi
melaksanakan kajian ini, pengkaji telah menggunakan kaedah kepustakaan.

       1. Kaedah Kepustakaan
           Kaedah kepustakaan ini merupakan kaedah yang berkaitan dengan pencarian maklumat-                      maklumat umum dengan kata kunci bagi sesuatu kajian. Dalam kajian ini pengkaji telah
           menggunakan Perpustakaan Tunku Bainun Universiti Pendidikan Sultan Idris untuk
           mendapatkan maklumat berkaitan dengan bahan kajian dengan sebanyak yang mungkin.
           Contohnya, buku-buku ilmiah, tesis dan jurnal yang berkaitan dengan tajuk kajian.

       2. Kaedah Analisis Data
           Kaedah analisis data merupakan kaedah yang tidak asing dalam setiap kajian yang
           dilakukan. Dengan kaedah analisis data, hasil sesuatu kajian akan diperolehi. Kaedah ini
           merupakan satu kaedah untuk mengawal dan mempersembahkan data yang diperoleh
           oleh pengkaji.Dalam kajian ini pengkaji mengumpul data yang di perlukan itu dengan
           sebanyak yang mungkin. Data-data yang di kumpulkan itu akan di masukkan ke dalam
           jadual dan seterusnya data tersebut akan dipaparkan dalam carta pai.

BAB 2 DAPATAN KAJIAN

TAUTAN KOLOKASI DALAM PANTUN MELAYU

2.1 Tautan Kolokasi Antoniman

Tautan kolokasi boleh dibahagikan kepada empat bahagian. Bahagian tersebut terdiri daripada
kolokasi antoniman, kolokasi kohiponiman, kolokasi hasil, dan kolokasi sifat. Berdasarkan
pantun yang dipilih, unsur tautan wujud dalam teks dan hubungan makna.

          Kolokasi dalam tautan wujud menerusi dua cara. Cara pertama ialah melalui perkaitan
semantik. Hal ini boleh dilihat melalui item-item leksikal yang selalu hadir secara serentak atau
bersama. Cara kedua adalah melalui makna rujukan umum yang berkaitan atau sama dan
menerusi kata berlawanan.

          Tautan kolokasi antoniman diertikan sebagai tautan yang menunjukkan tanda
berlawanan. Tautan jenis ini boleh diklasifikasikan sebagai tautan leksikal. Terdapat 16 buah
pantun yang dikaji. Berikut merupakan pantun yang mempunyai contoh-contoh kolokasi
antoniman.

(1) Anak teruna bertemu dara,
Pertemuan diatur oleh keluarga;
Hidup di Malaysia pelbagai budaya,
Kerjasama dibina membawa kesejahteraan.

(2) Anak muda pulang ke desa,
Ibu dan ayah lama menanti;
Warga membaca tak buang masa,
Khutub khanah teman sejati.

(3) Dari apa kue lemang,
Dari ketan yang dipanggang;
Waktu kecil kita ditimang,
Ayah ibu harus disayang.

(4) Silau mata bila melihat,
Panahan mentari di pagi hari;
Pemerintah adil disayangi rakyat,
Negara aman hidup harmoni.

(5) Sungguh bermutu kayu jati,
Menjadi pilihan segenap masyarakat;
Pemimpin adil sangat dihormati,
Memakmurkan ummah dunia dan akhirat.

(6) Berakit rakit ke hulu,
Berenang renang ke tepian;
Bersakit sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian.

Rangkap satu (R1) menunjukkan kolokasi antoniman pada baris pertama iaitu
‘teruna’dan‘dara’. Kolokasi tersebut terdapat dalam baris pertama pantun.Baris pertama pantun
empat kerat merupakan makna pembayang bagi sesebuah pantun. Secara keseluruhan, pantun
tersebut membawa maksud rakyat Malaysia yang mempunyai kepelbagaian budaya mestilah
bekerjasama dalam semua aspek bagi mengekalkan kesejahteraan dan keamanan negara.

          Bagi rangkap dua (R2), kolokasi antoniman terletak pada baris kedua iaitu ‘ibu’dan
‘ayah’. Kolokasi antoniman ini terletak pada baris kedua pantun dan merupakan unsur
pembayang dalam pantun tersebut. Jika dilihat secara menyeluruh, pantun ini menggambarkan
individu yang mengamalkan sikap suka membaca. Individu yang suka membaca sudah pasti
tidak akan buang masa dan menjadikan khutub khanah atau perpustakaan sebagai tempat yang
selalu dikunjungi untuk mendapatkan bahan bacaan.

         Rangkap ketiga (R3) juga menunjukkan kolokasi antoniman yang sama dengan pantun
kedua iaitu kata ‘ayah’ dan ‘ibu’. Maksud pantun tersebut merujuk kepada ibu dan ayah yang
banyak berkorban untuk anak-anak. Oleh sebab itu, kita mestilah membalas jasa mereka dengan
sentiasa mencurahkan kasih saying yang tidak berbelah bahagi terhadap mereka.

          Setelah pengkaji menghuraikan bahagian pembayang pantun yang mempunyai kolokasi
antoniman, kini pengkaji beralih kepada pantun keempat (4). Rangkap keempat (R4)
mempunyai unsur kolokasi antoniman pada bahagian makna.Hal ini dapat dilihat dengan jelas
pada baris ketiga iaitu perkataan ‘pemerintah’ dan ‘rakyat’. Secara tuntas, pantun ini memberi
peringatan bahawa pemerintah sesebuah negara yang bersikap dalam pentadbiran dan
pengurusan kebajikan akan sentiasa disayangi rakyat. Apabila pemerintah disayangi rakyat,
negara akan mudah mencapai keamanan dan keharmonian.

          Rangkap kelima (R5) pula menunjukkan kolokasi antoniman terletak pada baris ketiga
iaitu ‘dunia’ dan ‘akhirat’. Kedua-dua perkataan ini terletak pada baris terakhir dan merangkap
unsur makna dalam pantun tersebut. Pantun tersebut bermaksud pemimpin yang adil sangat
dihormati oleh rakyat. Jika diihat daripad sudut keagamaan, pemimpin atau ketua negaralah yang
akan menyatupadukan semua ahli yang dipimpinnya, berjalan seiring untuk sama-sama mengejar
kemakmuran di dunia dan akhirat.

          ‘Hulu’, ‘tepian’, ‘dahulu’, dan ‘kemudian’ merupakan contoh kolokasi antoniman yang
terdapat dalam rangkap keenam (R6). Setiap satu perkataan tersebut berada pada hujung baris
pantun. Jika dipasangkan menjadi ‘hulu’ dan ‘tepian’, unsur antoniman akan terbentuk. Begitu
juga dengan perkataan ‘dahulu’ dan ‘kemudian’.Makna yang wujud menunjukkan erti
berlawanan. Secara keseluruhan, pantun ini mengingatkan pembaca agar dalam mengerjakan
sesuatu, jika ada sebarang kesusahan, kita mestilah tenang dan tabah dalam menghadapi situasi
tersebut. Kepayahan itulah sebenarnya yang akan membawa kita kepada kesenangan kelak.

2.2 Tautan Kolokasi Kohiponiman

Kolokasi kohiponiman pula bermaksud keberadaan hubungan makna unsur yang terangkum
diperingkat superordinat dengan ordinatnya. Ia boleh juga berpaut diperingkat superordinat
dengan hiponim, atau termasuk meronimi.

          Dalam kata mudah, kolokasi kohiponiman boleh dikesan melalui kata yang maknanya
berpaut atau terangkum dalam makna kata yang lain. Sebagai contoh, melur, ros, dan kekwa
merupakan hiponim daripada bunga. Melalui pantun yang dikaji, terdapat beberapa perkataan
yang menunjukkan kolokasi kohiponiman:

(7) Baju kurung baju kebaya,
Baju kegemaran anak Pak Amat;
Harta dunia pengaruh manusia,
Harta yang baik harta akhirat.

(8) Disusun kemas oleh si dara nyonya,
Sirih junjung hantaran perkahwinan;
Jalankan kehidupan dengan rasionalnya,
Masa yang ada usah dipersiakan.

(9) Songket Jawa menjadi pilihan,
Pakaian anak Panglima Badang;
Emas dan perak hanya hiasan,
Hati yang baik juga dikenang orang.

(10) Berulang alik ke Tanjong Malim,
Hendak berjumpa anak Pak Jalil;
Hidup di dunia janganlah zalim,
Ingatlah Tuhan yang Maha Adil.

Rangkap ketujuh (R7) menunjukkan kolokasi kohiponiman pada baris pertama pantun
iaitu melalui kata ‘baju’ dan ‘kebaya’. Kita sedia maklum bahawa baju terdiri daripada pelbagai
jenis, contohnya baju kebaya, kurung, kemeja, dan sebagainya.Oleh hal yang demikian, ‘kebaya’
merupakan hiponim daripada ‘baju’. Jika dilihat pada keseluruhan makna pantun, pantun ini
mengingatkan kepada pembaca bahawa harta dunia seperti wang, pangkat, dan anugerah yang
dimiliki boleh mempengaruhi hidup seseorang. Namun, kita perlu sedar bahawa bukan harta
dunia yang menjadi ukuran kepada amalan kita di akhirat kelak. Harta akhirat seperti amal jariah,
anak yang soleh dan solehah, serta amal ibadatlah yang akan dinilai di hadapan Tuhan.

        Rangkap kelapan (R8) pula menunjukkan kolokasi kohiponiman pada baris kedua
pantun iaitu melalui kata ‘sirih junjung’ dan ‘hantaran perkahwinan’. Kedua-dua perkataan
ini berada dalam bahagian pembayang pantun. Hantaran perkahwinan mengikut adat Melayu
terdiri daripada sirih junjung, cincin, sepersalinan baju Melayu atau kurung, dan sebagainya.
Oleh sebab itu, ‘sirih junjung’ adalah hiponim daripada ‘hantaran perkahwinan’. Makna
keseluruhan pantun ini ialah kita mestilah berfikiran rasional dalam menjalani kehidupan. Masa
yang ada mestilah digunakan untuk melakukan perkara yang berfaedah.

          Tautan kolokasi kohiponiman dalam pantun seterusnya pula berada pada baris ketiga
iaitu bahagian makna. Rangkap kesembilan (R9) menunjukkan kolokasi kohiponiman pada
kata ‘emas’, ‘perak’, dan ‘hiasan’. Secara umumnya, hiasan boleh terdiri daripada emas, perak,
gangsa, dan sebagainya.Kolokasi kohiponiman boleh difahami dengan jelas menerusi contoh
tersebut. Bagi makna pantun pula, pantun ini bererti walaupun kita mempunyai harta dan
perhiasan yang banyak, diakhir hayat kita nanti, budi yang baik juga yang akan dikenang.

          Bagi rangkap pantun yang terakhir (R10), kolokasi kohiponiman dapat dilihat melalui
kata ‘Tuhan’ dan ‘adil’. Kedua-dua perkataan ini terletak pada baris akhir pantun, merangkap
unsur dalam bahagian makna. Dalam skop keagamaan, Tuhan mempunyai banyak sifat yang
menunjukkan kebesaran-Nya seperti Maha adil, Maha melihat, Maha mengetahui, dan
sebagainya. Oleh hal yang demikian, ‘adil’ merupakan hiponim bagi ‘Tuhan’.Jika kita lihat pada
keseluruhan pantun, mesej dalam pantun tersebut mengingatkan kita agar jangan melakukan
kezaliman. Ingatlah bahawa Tuhan itu Maha adil, Dia akan membalas setiap perbuatan kita
setimpal dengan apa yang kita lakukan.

2.3 Tautan Kolokasi Hasil

Tautan kolokasi hasil membawa maksud tautan yang melibatkan keberadaan makna unsur tautan
yang satu menghasilkan yang lain, atau antara unsur yang dihasilkan oleh sesuatu entiti
semantik. Berikut merupakan contoh tautan kolokasi hasil yang terdapat dalam pantun Melayu.

(11) Satu dua tiga enam,
Enam dan satu jadi tujuh;
Buah delima yang ditanam,
Buah berangan hanya tumbuh.

(12) Wahai anakanda kuntum pilihan,
Syarak dan sunnah jangan abaikan;
Berbuat baik janganlah segan,
Supaya engkau dirahmati Tuhan.

(13) Anak teruna bertemu dara,
Pertemuan diatur oleh keluarga;
Hidup di Malaysia pelbagai budaya,
Kerjasama dibina membawa kesejahteraan.

(14) Berakit rakit ke hulu,
Berenang renang ke tepian;
Bersakit sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian.

(15) Mendung ialah suatu tanda,
Hujan akan segera tiba;
Dengarlah wahai anakanda,
Ilmu adalah cahaya dalam jiwa

Bagi Rangkap kesebelas (R11), tautan kolokasi yang terdapat dalam pantun ini dapat dikenal
pasti melalui kosa kata ditanam dan tumbuh yang mempunyai keseimbangan makna daripada
segi hasil. Kosa kata ini terdapat pada baris ketiga dan keempat pantun ini.Maksudnya ialah
sebelum sesuatu pokok atau buah itu tumbuh, sudah semestinya pokok atau buah tersebut perlu
ditanam terlebih dahulu sebelum ianya tumbuh. Secara keseluruhannya pantun ini

          Seterusnya tautan kolokasi hasil juga terdapat dalam rangkap kedua belas (R12) ini.
Tautan kolokasi yang terdapat dalam pantun ini dapat dikenal pasti melalui kosa kata berbuat
baik dan dirahmati yang mempunyai keseimbangan makna daripada segi hasil. Maksudnya
ialah jangan segan berbuat baik kerana kita akan dirahmati Tuhan. Jika kita berbuat baik, maka
hasilnya Tuhan akan merahmati kita.

          Tautan kolokasi yang terdapat dalam rangkap ketiga belas (R13) dapat dikenal pasti
melalui kosa kata kerjasama dan kesejahteraan yang mempunyai keseimbangan makna
daripada segi hasil. Maksudnya untuk mencapai sesuatu kesejahteraan dalam kehidupan,
semangat kerjasama perlu diwujudkan kemudian barulah kesejahteraan tercapai. Hal ini
demikian kerana, Malaysia mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan terdiri daripada pelbagai
budaya. Jadi amalan bekerjasama perlu dibina dalam kalangan masyarakat agar rakyat Malaysia
dapat hidup dalam keaadaan aman dan sejahtera.

           Rangkap keempat belas (R14) juga menampakkan ciri kolokasi hasil, iaitu pada baris
ketiga dan keempat. Kedua-dua baris ini dilihat mempunyai kesinambungan daripada segi hasil.
Maksudnya, untuk mendapat kesenangan, kita perlu melalui kepayahan terlebih dahulu
kemudian barulah kita memperoleh kesenangan. Pantun ini dicipta untuk tujuan memberi
nasihat. Pantun ini menyuruh kita untuk bersusah-susah belajar terlebih dahulu agar senang di
kemudian hari dan bahagia di masa depan.

          Seterusnya adalah pada rangkap kelima belas (R15). Pantun ini juga mengandungi
tautan kolokasi hasil. Tautan kolokasi yang terdapat dalam pantun ini dapat dikenal pasti melalui
kosa kata mendung dan hujan yang mempunyai keseimbangan makna daripada segi hasil.
Maksudnya sebelum hujan turun, cuaca akan mendung tersebih dahulu dan diikuti dengan
turunnya hujan. Secara keseluruhannya, pantun ini bertujuan untuk memberi nasihat berkaitan
ilmu. Ilmu yang diperolehi atau dipelajari akan menjadi cahaya dalam jiwa seseorang.

2.4 Tautan Kolokasi Sifat

Tautan kolokasi sifat merujuk kepada keberadaan hubungan makna unsur tautan yang menjadi
punca sifat dengan unsur sifat atau unsur sifat daripada entiti punca sifat.Berikut merupakan
contoh tautan kolokasi sifat yang terdapat dalam pantun melayu.

(16) Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

(17) Air melurut ke tepian mandi,
Kembang berseri bunga senduduk;
Elok diturut resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.

(18) Ke hulu membuat pagar,
Jangan terpotong batang durian;
Cari guru tempat belajar,
Supaya jangan sesal kemudian.

(19) Dari apa kue lemang,
Dari ketan yang dipanggang;
Waktu kecil kita ditimang,
Ayah ibu harus disayang.

Pantun keenam belas (R16) ini mempunyai tautan kolokasi sifat, iaitu pada baris
pertama dan baris kedua. Contoh di atas menunjukkan sifat padi setelah masak, iaitu layu-layuan.
Maka hasil daripada menuai padi yang telah masak ialah padi tersebut akan layu. Secara
keseluruhannya, pantun ini

         Pantun ketujuh belas (R17) ini juga mempunyai tautan kolokasi sifat. Contoh dalam
pantun ini menunjukkan resmi padi, iaitu apabila semakin berisi, padi tersebut akan semakin
tunduk. Padi yang semakin menunduk merupakan hasil apabila padi tersebut semakin berisi,
maka padi yang semakin berisi merupakan kolokasi sifat yang terdapat dalam pantun di
atas.Pantun ini menyeru supaya kita sentiasa merendah diri.

          Pantun kelapan belas (R18) memperlihatkan tautan kolokasi sifat, iaitu pada baris
ketiga pada perkataan guru dan tempat belajar. Hal ini demikian kerana guru merupakan
tempat belajar bagi seseorang pelajar. Secara keseluruhannnya pantun ini mengingatkan kita
untuk mencari guru kerana guru merupakan tempat untuk kita belajar dan menimba ilmu
pengetahuan supaya tidak kesal dikemudian hari kelak.

          Seterusnya ialah pada rangkap yang kesembilan belas (R19). Pantun ini juga
memperlihatkan tautan kolokasi sifat. Kita dapat lihat melalui kosa kata kecil dan ditimang yang
terdapat pada baris ketiga pantun ini. Hal ini dapat dilihat melalui sifat manusia, iaitu semasa kita
kecil, kita ditimang-timang oleh ibu bapa kita. Pantun ini sebenarnya meningatkan kita untuk
menyayangi kedua ibu bapa kita kerana ketika kita kecil, mereka menjaga kita dengan penuh
kasih sayang.

2.5 Analisis Kuantitatif Aspek Kolokasi Dalam Pantun Melayu

Analisis kuantitatif ini berdasarkan bilangan rangkap pantun yang mengandungi unsur kolokasi
mengikut jenis kolokasi.

Jadual 1.0 Bilangan Rangkap Pantun Mengandungi Unsur Kolokasi
Kolokasi
Kolokasi Antoniman (TK1)
R1, R2, R3, R4, R5, R6
6
Kolokasi Kehiponiman (TK2)
R7, R8, R9. R10
4
Kolokasi Hasil (TK3)
R11, R12, R13, R14, R15
5
Kolokasi Sifat (TK4)
R16, R17,R18, R19
4
                                                                                    Jumlah
19


Carta Pai yang menunjukkan bilangan rangkap mengikut jenis kolokasi.
Berdasarkan Jadual 1.0 dan Carta 1.0, didapati bahawa tautan kolokasi antoniman
mempunyai jumlah yang paling banyak digunakan dalam pantun melayu yang dikaji iaitu 6 atau
32%. Kemudian diikuti oleh tautan kolokasi hasil dengan jumlah sebanyak 5 rangkap atau 26%.
Manakala yang agak sedikit digunakan ialah tautan kolokasi kehiponiman dan kolokasi sifat.
Kedua-dua jenis kolokasi tersebut hanya terdapat pada 4 rangkap dalam Pantun Melayu sahaja
dengan peratusan 21%.

          Jumlah penggunaan kolokasi antoniman dan kolokasi hasil tidak begitu banyak bezanya.
Namun, penggunaan kolokasi antoniman melebihi satu rangkap berbanding kolokasi hasil dalam
Pantun Melayu. Hal ini menunjukkan penulis banyak menggunakan kata-kata atau unsur yang
bertentangan dan berlawanan makna. Contohnya, unsur antoniman pada R1 ini menunjukkan
antonim berpasangan iaitu teruna dan dara. Penulis juga kerap menggunakan kolokasi hasil
namun jumlahnya lebih sedikit daripada kolokasi antoniman. Kolokasi hasil ini merujuk kepada
perbuatan yang kita lakukan dan hasil atau balasannya kita dapat kemudian. Contohnya dapat
dilihat pada R11;

          Buah delima yang ditanam,
          Buah berangan hanya tumbuh

          Perkataan ditanam merujuk kepada perbuatan dan perbuatan ditanam tersebut diikuti
oleh tumbuh sebagai hasilnya. Tautan ini melibatkan keberadaan makna unsur tautan yang satu
menghasilkan unsur yang lain.

          Persamaan jumlah penggunaan kolokasi kehiponiman dan kolokasi sifat dapat kita lihat
berdasarkan jadual dan carta di sebelah. Penulis jarang menggunakan unsur kolokasi
kehiponiman dan kolokasi sifat dalam Pantun Melayu. Unsur kolokasi kehiponiman dan kolokasi
sifat masing-masing hanya digunakan sebanyak 4 kali sahaja. Tautan jenis ini, merujuk kepada
kata yang makna nya terangkum dalam makna kata yang lain. Hal ini berlaku apabila ada
perkataan yang berfungsi sebagai nama kelas bagi segolongan perkataan lain. Contohya pada R9,
Emas dan perak hanya hiasan. Hiasan merupakan kata yang luas dan umum, manakala emas
dan perak merupakan dua perkataan dalam golongan hiasan. Kolokasi sifat hanya meliputi 21%
daripada keseluruhan peratusan kekerapan penggunaan kolokasi mengikut jenis.Hal ini kerana
penulis tidak fokus kepada sifat sesuatu unsur yang digunakan. Unsur tersebut banyak digunakan
dalam Pantun Melayu, tetapi tidak diberikan sifatnya. Penulis tidak menggunakan tautan ini yang
melibatkan kehadiran kata yang berlainan mewujudkan hubungan makna sifat, iaitu antara entiti
dengan sifatnya.

BAB 3 RUMUSAN

3.1 Kesimpulan

Kesimpulannya, terdapat banyak penggunaan tautan kolokasi yang digunakan di dalam pantun
Melayu. Seperti yang sedia maklum kita hanya mendapati bahawa selama ini tautan kolokasi
hanyalah terdapat di dalam cerpen mahupun mantera sahaja, akan tetapi pada kali ini kumpulan
kami telah membuktikan bahawa pengarang pantun Melayu juga ada menggunakan tautan
kolokasi di dalam karya-karya mereka misalnya pantun Melayu yang dibuktikan dengan analisis
yang telah dibuat tersebut.

          Selain itu kumpulan kami hanyalah menganalisi empat sahaja tautan kolokasi pada
pantun Melayu ini iaitu terdiri daripada tautan kolokasi antoniman, kohiponiman, hasil dan sifat.
Keempat kolokasi ini sememnya terdapat di dalam pantun Melayu ini. Dengan adanya analisis
ini dibuat maka kami menegaskan disini bahawa unsur-unsur tautan kolokasi seperti tautan
kolokasi antoniman, kohiponiman, hasil dan juga sifat ini ada digunakan dalam pantun Melayu
bukan sahaja digunakan dalam cerpen mahupun mantera sahaja.


BIBLIOGRAFI

Mohd. Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul & Adenan Ayob (2012).
           Analisis wacana berdasar teks komsas terpilih. Perak: Emeritus Publication.

Mohd. Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul & Adenan Ayob (2012).
           Tatabahasa wacana. Perak: Emeritus Publication.

Mohd. Rashid Md Idris (2007). Monograf bahasa Melayu. Kuala Lumpur:
           ACH Communications Sdn. Bhd.

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj. Musa & Abdul Hamid Mahmood (2010).
           Tatabahasa dewan edisi ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noraini Binti Kasim (2003), Aspek tautan dalam dokumen lama. Diperoleh pada April 20, 2016
           daripada http://www.academia.edu/6281797/ASPEK_TAUTAN_DALAM_
           DOKUMEN_LAMA

Nota tautan. Diperoleh pada April 20, 2016 daripada http://documents.tips/documents/notatautan.
          html

Sanat Md. Nasir (2002). Tautan dalam wacana bahasa Melayu akhbar. Kuala Lumpur:
          Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan