Sabtu, 30 April 2016

Tautan Penghubung Ayat

Berikut merupakan salah satu tugasan individu dalam kursus ini. Kami muatkan dalam laman ilmu ini untuk rujukan pengunjung blog.


Tautan Penghubung Ayat  



Tautan penghubung ayat merupakan penanda wacana yang berfungsi sebagai kata atau frasa penghubung. Dalam hal ini, kata atau frasa penghubung berfungsi sebagai ‘jambatan’ atau medium yang membantu individu untuk membaca dengan lancar. Tautan penghubung ayat terbahagi kepada lima iaitu penghubung ayat tambahan, penghubung ayat tentangan, penghubung ayat sebab musabab, penghubung ayat waktu, dan penghubung ayat terusan.

Penghubung ayat tambahan merupakan inti atau butiran yang memberikan tambahan kepada sesuatu perkara yang diutarakan oleh penyampai. Ciri menambah ini juga termasuk penegasan dan pisahan atau pilihan. Hal ini boleh difahami dengan lebih jelas berdasarkan contoh-contoh berikut;



Contoh 1: Milah amat menyayangi anaknya, Fiza, justeru merancang untuk memberikannya          seutas rantai emas.

Contoh 2: Penggunaan teknologi dan bahan maujud dalam sesi pengajaran di dalam bilik darjah amat penting bagi merangsang minat murid.

Contoh 3: Syima baru balik dari tempat kerjanya. Sesampainya dia di rumah, Syima terus          mencapai tuala lalu bergegas ke bilik mandi.



Jenis tautan penghubung ayat yang kedua pula ialah penghubung ayat tentangan. Penghubung ayat jenis ini ialah pernyataan yang berlawanan atau bertentangan. Hal ini boleh dilihat dengan jelas melalui kata hubung yang menunjukkan kontra. Hal ini boleh difahami melalui contoh-contoh berikut:


Contoh 1: Anita bercadang untuk tinggal di Amerika dalam tempoh yang lebih lama tetapi          ibunya menyuruh dia pulang ke tanahair untuk menguruskan syarikat mereka.

Contoh 2: Syarikat penerbangan Airasia Six menyediakan potongan harga bagi setiap tiket yang dibeli oleh penumpang. Walaubagaimanapun, pihak penerbangan tersebut tidak bertanggungjawab atas sebarang kelewatan penumpang atau kehilangan tiket kapal terbang.

Contoh 3: Sungguhpun perbicaraan telah dilakukan sebanyak dua kali di mahkamah, kes           tersebut masih tidak dapat diselesaikan.

 

Jenis tautan penghubung ayat yang ketiga pula ialah penghubung ayat sebab musabab. Jenis penghubung ayat ini menggabungkan dua unsur yang berkaitan. Contoh bagi tautan jenis ini ialah oleh itu, oleh sebab itu, akibatnya, dan kesannnya. Berikut merupakan beberapa ayat yang boleh dijadikan contoh:



Contoh 1: Mizan telah menyedari akan kesilapannya yang selalu bercakap kasar terhadap           ayahnya. Oleh itu, dia bergegas pulang ke kampung untuk memohon maaf.

Contoh 2: Kaki Ganesh cedera kerana terpijak paku sewaktu membersihkan stor di belakang          rumahnya. Oleh sebab itu, Ganesh tidak dapat menyertai kejohanan bola tampar di sekolah.

Contoh 3: Faizal menunggang motosikal melebihi had laju yang telah ditetapkan. Akibatnya, dia telah terlanggar tiang lampu jalan dan terjatuh ke dalam longkang.



Jenis penghubung ayat yang keempat ialah penghubung ayat waktu. Penghubung ayat jenis ini merujuk kepada pertautan yang melambangkan tempoh, jangka masa, atau waktu. Hal ini boleh dilihat dengan jelas dalam ayat melalui penggunaan kata yang menunjukkan urutan, sertaan, kesimpulan, atau lampauan. Sebagai contoh:



Contoh 1: Sebelum ini, rumah tersebut kelihatan sangat cantik.

Contoh 2: Selepas beberapa tahun ditinggalkan kosong, rumah tersebut kelihatan buruk dan          menakutkan.

Contoh 3: Pada mulanya, Ahmad seorang yang sangat pendiam.



Jenis tautan penghubung ayat yang terakhir ialah penghubung ayat terusan. Penghubung jenis ini tidak termasuk dalam mana-mana empat jenis penghubung ayat yang dibincangkan sebelum ini. Penghubung ayat terusan mempunyai maksud unsur sebelum dan selepas dalam hubungan penerusan. Dalam sistem fonologi, bacaan teks yang berkaitan adalah bernada rendah. Sebagai contoh:


Contoh 1: Kini, sudah dua tahun kapal terbang MH370 hilang daripada radar.

Contoh 2: Pada tahun ini, kerajaan berhasrat untuk mengurangkan statistik kemalangan jalan          raya. Selaras dengan itu, pihak kerajaan telah mengadakan pelbagai kempen kesedaran dan operasi di jalan raya.

Contoh 3: Pada hari itu, wajah Kila kelihatan sugul. Lazimnya, dia seorang yang ceria.



Bibliografi  



Mohd. Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul & Adenan Ayob (2012). Analisis wacana berdasar teks komsas terpilih. Perak: Emeritus Publication.

Mohd. Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul & Adenan Ayob (2012). Tatabahasa wacana. Perak: Emeritus Publication.

Mohd. Rashid Md Idris (2007). Monograf bahasa Melayu. Kuala Lumpur: ACH Communications Sdn. Bhd.

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn,  Hashim Hj. Musa & Abdul Hamid Mahmood (2010). Tatabahasa dewan edisi ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sanat Md. Nasir (2002). Tautan dalam wacana bahasa Melayu akhbar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tiada ulasan:

Catat Ulasan