Tugasan Individu
1.0 Pengenalan
Wacana berasal daripada
kosa kata Jawa, iaitu ‘wocono’. Perkataan ‘wocono’ pula terbit daripada ‘woco’
yang bermaksud baca. Wacana juga dipercayai berasal daripada perkataan bahasa
Inggeris iaitu ‘discourse’. Perkataan ‘discourse’ terhasil daripada perkataan
bahasa Latin iaitu ‘discursus’, iaitu larian
ke dan lari.
Mnurut
Edmondson (1981:4) dalam buku Pengajaran
Wacana yang ditulis oleh Henry Guntur Tarigan, wacana adalah suatu peristiwa
berstruktur yang ditunjukan dalam perilaku linguistik sedangkan teks adalah
suatu urutan ekspresi linguistik berstruktur yang membentuk suatu keseluruhan
yang padu.
Menurut
Sanat Md Nasir (1986), wacana merujuk kepada teks, iaitu unit bahasa yang
melebihi unit teks. Unit teks boleh berdiri sebagai satu ayat sama ada secara
fonik atau grafik. Dalam pengertian yang lebih luas, wacana adalah rentangan
ujaran yang berkesinambungan antara satu sama lain berdasarkan urutan
kalimat-kalimat secara individual.
Ciri-ciri
wacana dapat dikategorikan kepada beberapa komponen. Antara komponen tersebut
ialah runtutan. Runtutan turut
dikenali sebagai koherensi. Menurut Tatabahasa Dewan (2008:525), runtutan
merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam sesebuah wacana sehingga teks
itu bermakna. Menurut Kamus Besar Indonesia (2008), koherensi juga dikenali
sebagai kohesi yang bermaksud hubungan logik antara bahagian karangan atau
antara kalimat dalam satu paragraf.
Tokoh
bahasa iaitu F.J.D’ Angelo atau nama sebenar beliau, Frank Joseph D’Angelo
telah mengkaji ciri-ciri runtutan. Dalam karyanya Process and Thought in Composition, beliau telah menyenaraikan
sebanyak 15 ciri-ciri runtutan iaitu penambahan, rentetan, pronomina (kata
ganti diri), pengulangan, sinonim, keseluruhan bahagian, kelas anggota, penekanan,
perbandingan, pertentangan, simpulan, contoh, kesejajaran (paralel), lokasi dan
waktu.
2.0 Ciri Runtutan Menurut Pendapat
F.J.D’ Angelo
Setiap bahagian
karangan perlu mempunyai pengaturan secara rapi dari segi penyataan, gagasan,
fakta dan idea-idea agar menjadi suatu untaian yang logik sehingga mudah untuk
difahami maklumat yang ingin disampaikan kepada pembaca. Berikut merupakan 15
ciri-ciri runtutan yang telah disenaraikan oleh F.J.D’ Angelo :
2.1 Penambahan
Ciri
pertama yang terdapat dalam runtutan ialah penambahan. Penambahan ini juga
dikenali sebagai penghubung aditif. Contoh:
i.
Masalah pencemaran air sungai ini
harus diselesaikan oleh pihak bertanggungjawab dan ketua kampung serta
penduduk setempat.
ii.
Golongan kaya dan miskin, tua dan
muda, juga anak-anak yatim tetap dapat menjamu selera bersama-sama
tanpa mengira pangkat dan usia.
Perkataan
dan,
serta dan juga menunjukkan unsur penambahan idea dalam i dan ii bagi
mewujudkan kesinambungan idea.
2.2 Rentetan
F.J.D’
Angelo menyenaraikan rentetan sebagai salah satu daripada ciri yang perlu ada
dalam runtutan. Hal ini bermaksud, gagasan antara satu idea dan idea lain perlu
berangkai atau berurutan. Contoh:
i.
Teknik menggunakan Tetingkap sangat
mudah! Pertama, kita mesti klik butang minimum dalam bar tajuk
tetingkap. Kedua, kita akan klik butang maksimum dalam bar tajuk tetingkap
untuk membesarkannya. Kemudian, kita boleh klik butang
kembali ke asal (restore) untuk mengembalikan tetingkap kepada saiz sebelumnya.
Seterusnya,
kita klik butang tutup dalam bar tajuk tetingkap untuk menutup tetingkap.
Perkataan
pertama,
kedua, kemudian dan seterusnya merupakan kata yang
menunjukkan urutan dan rangkaian dalam kesinambungan idea sesebuah wacana.
2.3 Pronomina (Kata Ganti)
Pronomina
atau Kata Ganti turut disenaraikan dalam ciri-ciri yang terdapat dalam
runtutan. Penghubung Kata Ganti ini terdiri daripada Kata Ganti Diri, Kata
Ganti Petunjuk, Kata Ganti Nama Tempat dan sebagainya. Contoh:
i.
Ini rumah saya. Itu rumah kamu. Rumah saya
dan kamu
berdekatan. Jadi, kita berjiran.
ii.
Alif tinggal di sana.
Aina pula tinggal di sini. Mereka berdua merupakan
sepasang suami isteri.
Penghubung
Kata Ganti Diri boleh ditemui dalam kedua-dua i dan ii iaitu saya
dan kita
(Kata Ganti Diri Pertama), kamu (Kata Ganti Diri Kedua) serta mereka
(Kata Ganti Diri Ketiga). Penghubung Kata Ganti Nama Tunjuk terdapat dalam i iaitu ini yang menunjukkan
sesuatu yang dekat dan itu pula menunjukkan sesuatu yang
jauh. Dalam ii, terdapat Kata Ganti
Tempat iaitu sana yang menunjukkan tempat yang jauh manakala sini menunjukkan
tempat yang dekat. Kata Ganti tersebut memberikan unsur bersangkut paut dan
berhubungan dalam i dan ii.
2.4 Pengulangan
Pengulangan
juga turut dikenali sebagai repetisi turut disenaraikan sebagai ciri-ciri yang
perlu ada dalam koherensi. Pengulangan tersebut dapat dilihat pada sesuatu
perkataan yang diulang sebanyak beberapa kali. Contoh:
i.
Setiap musuh mesti dihapuskan. Setiap
cabaran mesti dihadapi dengan tabah. Setiap perbuatan pasti mendapat
balasan. Setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya.
ii.
Hidup ini adalah satu perjuangan.
Perjuangan
dalam mencari kebenaran. Perjuangan mengejar ilmu
pengetahuan. Perjuangan untuk meneruskan kehidupan. Perjuangan yang tiada penghujungnya.
Dalam i, terdapat
perkataan setiap yang diulang sebanyak 4 kali. Perkataan perjuangan
yang terdapat dalam ii pula
diulang sebanyak 5 kali. Hal ini demikian kerana perkataan tersebut bertindak
sebagai penegas kepada tajuk yang hendak disampaikan agar lebih difahami dan
dapat menghasilkan kesan makna yang puitis.
2.5 Sinonim
Catatan
Kamus Linguistik (1997) menyatakan bahawa sinonim merupakan dua kata atau lebih
mempunyai makna yang sama atau hampir sama dalam sesuatu bahasa. Contoh:
i.
Produk kecantikan yang asli
lagi tulen
boleh dibeli di cawangan terdekat produk tersebut. Pengasas produk
kecantikan tersebut merupakan emak kepada Aina. Ibu Aina telah meninggal
dunia akibat kejadian rompakan bersenjata di ibu negara. Aina juga
sedih kerana kematian kucing kesayangan ibunya yang dilanggar kereta.
Terdapat
beberapa perkataan yang sama makna dengan perkataan lain. Perkataan asli
sama makna dengan perkataan tulen.Perkataan emak dan ibu
serta meninggal dunia dan kematian masing-masing mempunyai
makna yang sama. Namun apabila digunakan dalam ayat, maksud perkataan tersebut
bergantung kepada konteks ayat. Ciri ini yang memberi variasi dalam runtutan.
2.6 Keseluruhan Bahagian
Menurut
pendapat F.J.D’ Angelo, pertuturan dan penulisan yang dihasilkan akan bermula
dari keseluruhan isi yang cuba disampaikan, kemudian beralih kepada
bahagian-bahagian lain. Contoh:
i.
Saya membeli buku baru. Buku itu terdiri daripada
tujuh bab. Setiap bab terdiri daripada beberapa fasal. Setiap fasal
tersusun dari beberapa perenggan. Seterusnya, setiap perenggan mempunyai ayat.
Setiap ayat pula terdiri daripada beberapa perkataan.
Buku
tersebut merupakan keseluruhan kepada perkara yang ditulis. Manakala bab,
fasal, perenggan, ayat dan perkataan merupakan bahagian-bahagian yang
terdapat dalam buku iaitu isi yang cuba diterangkan. Strategi umum – khusus
merujuk kepada penggunaan kata atau frasa yang membawa makna umum pada bahagian
awal ayat sebelum bergerak kepada makna khusus pada bahagian tengah atau
pengakhiran ayat. Gandingan makna umum dengan makna khusus ini membentuk makna
yang tersusun, lancar dan mudah difahami oleh khalayak.
2.7 Kelas Anggota
Ciri
kelas anggota lebih kurang sama dengan ciri keseluruhan bahagian. Perbezaannya
dapat dilihat apabila kelas anggota lebih fokus terhadap bahagian yang lebih
kecil dengan memberikan contoh. Contoh:
i.
Kerajaan berusaha untuk meningkatkan mutu pengangkutan
di negara kita, sama ada pengangkutan darat, laut atau udara.Dalam sektor
pengangkutan darat, kerajaan telah menggalakan rakyat untuk memanfaatkan
penggunaan kereta api, monorail, teksi dan sebagainya.
Perkataan
pengangkutan darat, laut atau udara merupakan contoh kepada pengangkutan
dan kereta
api, monorail serta teksi merupakan contoh kepada pengangkutan
darat. Contoh-contoh itu disebut sebagai anggota dan isi utamanya iaitu
pengangkutan merupakan kelas.
2.8 Penekanan
Penekanan
yang digunakan dalam sesebuah wacana boleh meningkatkan lagi keruntutan atau
perhubungan antara gagasan idea. Terdapat beberapa perkataan yang boleh
digunakan untuk menekankan perkara penting dalam ayat. Contoh:
i.
Akhirnya, jambatan yang
menghubungkan kampung kita dengan kampung Unggul dapat dibina dengan sempurna
hasil kerjasama kedua-dua belah pihak. Jelaslah hubungan antara kedua-dua
kampung masih lagi erat. Sesungguhnya perkara ini memberi
manfaat kepada penduduk kampung.
Perkataan akhirnya, sesungguhnya dan jelaslah
dalam contoh di atas merupakan penekan kepada ayat. Perkataan tersebut bertindak
untuk menegaskan perkara penting yang terdapat dalam ayat. Penekanan yang
terdapat dalam sesebuah wacana atau ayat boleh meninggalkan kesan kepada pembaca
atau pendengar.
2.9 Perbandingan
Perbandingan
turut dikira sebagai penyumbang kepada runtutan. Perbandingan
berlaku dalam sesebuah
wacana apabila penulis cuba membandingkan sesuatu perkara dengan perkara yang
lain. Contoh:
i.
Sama seperti
Pak Cik Lukas, kita pun harus mendirikan rumah yang besar. Pembinaan rumah Pak Cik
Lukas hampir siap. Mengapa kita tidak berbuat begitu secepat yang
mungkin?
Perkataan
sama seperti, pun dan begitu menunjukkan perbandingan antara sesuatu perkara.
Penulis menggunakan perkataan tersebut untuk membandingkan kita dengan Pak Cik Lukas.
Perbezaan dapat dilihat melalui perbandingan yang dibuat dan penulis mengajak
pembaca untuk menilai dan mencontohi Pak Cik Lukas.
2.10
Pertentangan
Pertentangan
atau kontra digunakan untuk menambahkan lagi kesan koheren dalam sesuatu teks. Pertentangan
berlaku apabila wujudnya dua gagasan idea yang bercanggah. Contoh:
i.
Bidang pertanian di
negara kita telah mengalami perkembangan yang pesat akibat daripada kemajuan
teknologi. Tetapi, kebanyakan petani masih lagi menggunakan tukang empat
kerat, bergantung sepenuhnya pada cuaca dan menggunakan bantuan perkhidmatan
kerbau. Namun, hasil mereka jauh lebih banyak daripada hasil pertanian
petani moden.
Pada
contoh i, terdapat pertentangan
melalui perkataan tetapi dan namun.Perkataan tersebut wujud
kerana terdapat percanggahan idea antara ayat pertama dengan ayat kedua dan
seterusnya. Pengarang menunjukkan pemodenan dalam bidang teknologi tetapi
hasilnya bertentangan dengan kemajuan yang ada.
2.11
Simpulan
Simpulan
atau hasil wujud dalam sesebuah wacana untuk meningkatkan lagi kesan koherensi.
Simpulan ini seolah-olah kita menyimpulkan isi yang dibincangkan dalam sesuatu
teks. Terdapat beberapa perkataan tertentu yang menjadi penanda kepada
simpulan. Contoh:
i.
Tuntasnya,
masalah obesiti hendaklah diatasi untuk mengelakkan perkara buruk yang timbul
sebagai akibatnya. Oleh yang demikian, kita perlu mengamalkan pemakanan seimbang
dan lebih kerap bersenam. Membuang lemak dalam badan bukan perkara mudah untuk
dilakukan. Jadi, usaha ini memerlukan kesabaran dan kesungguhan.
Perkataan
tuntasnya, oleh yang demikan dan jadi merupakan perkataan yang sering digunakan
untuk menyimpulkan sesuatu ayat dan idea dalam teks. Kata simpulan ayat ini
turut bertindak sebagai penghubung dalam sesebuah wacana.
2.12
Contoh
Melalui contoh yang diberi dalam
sesebuah teks, kita dapat mencipta koherensi. Hal ini demikian kerana, setiap
contoh yang diberikan pasti berkaitan antara satu sama lain. Contoh:
i.
Di halaman rumah kami, terdapat
sayur-sayuran seperti bayam, kacang panjang, sawi, dan kangkung. Terdapat
juga buah-buahan yang ditanam oleh nenek saya, misalnya durian, cempedak, betik dan
langsat.
Perkataan bayam, kacang panjang, sawi, dan
kangkung merupakan contoh kepada sayur dan perkataan durian,
cempedak, betik dan langsat contoh kepada buah. Perkataan ini dilihat
saling bersangkut paut kerana kedua-duanya merupakan tumbuhan atau tanaman.
2.13
Kesejajaran
(Paralel)
Ciri
runtutan berikut dikenali sebagai kesejajaran. Kesamaan struktur dalam pasangan
atau siri kata-kata, frasa-frasa atau klausa-klausa yang berhubungan. Gaya ini
mensejajarkan beberapa ayat yang berpola sama. Contoh:
i.
Sewaktu dia datang, saya
sedang membaca buku, saya sedang fokus kepada cerita yang dibaca. Jadi,
saya
tidak mengetahui, saya tidak sedar dia duduk di sebelah saya. Saya
terkejut. Kemudian, kami bersalaman dan berpelukan kerana lama
sudah tidak bertemu.
Klausa saya sedang membaca buku, saya
sedang tekun fokus sejajar dengan klausa saya tidak mengetahui, saya tidak
sedar. Perkataan bersalaman pula sejajar dan perkataan
berpelukan.
2.14
Lokasi
Lokasi
turut disenaraikan sebagai ciri runtutan. Setiap kata yang digunakan untuk
menunjukkan lokasi pasti bertindak sebagai penghubung dalam sesebuah teks.
Contoh:
i.
Ayah meletakkan buku di
atas meja. Adik pula telah mengambil buku tersebut lalu disimpannya di
dalam almari. Apabila abang bertanya kepada adik, adik tidak ingat
tempat dia menyimpan buku tersebut dan memberitahu abang buku itu ada di bawah kerusi.
Perkataan
di
atas meja, di dalam almari dan di bawah
kerusi menunjukkan kata berkaitan lokasi. Perkataan tersebut dilihat
sebagai runtutan kerana setiap ayat yang terhasil dapat dihubungkan antara satu
sama lain dan ideanya juga bersangkut paut.
2.15
Waktu
Runtutan
dalam sebuah wacana turut mengambil kira aspek waktu. Waktu boleh digunakan
sebagai alat untuk menghubungkan antara satu idea dengan idea yang lain.
Contoh:
i.
Pada 1 September 2013, Aina
telah mendaftar sebagai pelajar di universiti ini. Selama 5 bulan Aina tidak pulang
ke kampung halaman kerana sibuk dengan pelbagai aktiviti. Pada awal
bulan Februari, Aina pulang ke kampung untuk menghabiskan cuti
semesternya.
Teknik
penulisan waktu sentiasa berurutan dan secara tidak langsung memberi kesan
penghubung dan berkait antara satu sama lain kepada idea. 1 September 2013 5 bulan
dan awal
bulan Februari memberi kesan urutan waktu dan menghubungkan satu idea
dengan idea lain.
3.0 Kesimpulan
15 ciri-ciri runtutan menurut F.J.D’
Angelo telah berjaya dibincangkan. Ciri-ciri yang diutarakan oleh beliau sangat
sempurna dan lengkap. Hal ini demikian kerana setiap aspek runtutan termasuk
lokasi dan waktu disentuh dan turut diambil kira sebagai penghubung untuk
menghasilkan wacana yang berkualiti.
Koherensi merupakan hubungan timbal
balik yang baik dan jelas antara unsur-unsur yang membentuk sebuah kalimat,
bagaimana hubungan antara subjek dan predikat, hubungan antara predikat dan
objek. Koheren juga bukan pada satuan teks tetapi ia bergantung kepada
kemampuan pembaca atau pendengar dalam menghubungkan makna dan
menginterpretasikan suatu bentu wacana.
Wacana
yang mantap perlu mempunyai runtutan iaitu penghubung sama ada isi dengan isi,
ayat dengan ayat atau idea dengan idea. Hal ini demikian kerana setiap maklumat
yang cuba disampaikan akan mudah difahami oleh pembaca dan pendengar. Isi, idea
dan ayat tidak berterabur serta gagasannya sentiasa bersangkut paut antara satu
sama lain.
Rujukan
Abdul Hamid
Mahmood. (2006). Kursus Menguasai Bahasa
Melayu Mudah. Tanjong Malim: Universiti
Pendidikan Sultan Idris.
Abdullah Hassan.
(1992). Semantik. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Abdullah Yusof,
Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari. (2009). Semantik Dan Prgmatik Bahasa
Melayu. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd.
Henry Guntur
Tarigan. (1993). Pengajaran Wacana.
Bandung: ANGKASA Bandung.
Mohd Rashid Md
Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul dan Adenan Ayob. (2012). Tatabahasa
Wacana. Tanjong Malim: Emeritus Publications.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan